AM > BERITA

KDN Anjur Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni Sempena Ramadan

23/02/2026 09:14 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini menganjurkan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni sempena Ramadan bersama Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Majlis yang bermula 6.30 petang di pekarangan Kompleks Setia Perkasa, KDN di sini turut menampilkan Ustaz Marwan Bukhari A Hamid yang menyampaikan tazkirah Ramadan. 

Saifuddin Nasution dalam ucapan ringkasnya berkata majlis tersebut diadakan antara lain bertujuan menerapkan nilai kasih sayang, perpaduan, bertolak ansur serta saling menghormati, yang wajar menjadi tonggak dan budaya kerja warga KDN.

Beliau berkata Ramadan juga mengajar umat Islam agar melembutkan hati melalui amalan kebajikan seperti memberi makan kepada golongan miskin dan menyantuni anak yatim seperti ajaran Nabi Muhammad SAW.

Saifuddin Nasution berkata KDN turut mengatur pelbagai program bersama anak yatim dan golongan asnaf sepanjang Ramadan sebagai usaha mendekati dan membantu masyarakat yang memerlukan.

Kira-kira 1,000 warga KDN termasuk agensi di bawahnya hadir memeriahkan majlis itu yang disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan