AM > BERITA

EAIC Dapati Ada Kecuaian Pengendalian Latihan Senjata Api Di PLRWU

24/02/2026 10:28 AM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati berlaku kecuaian dalam pengendalian latihan senjata api di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara (PLRWU) yang mengakibatkan seorang peserta Kursus Asas Induksi Pegawai RELA cedera pada 15 Nov 2024.

EAIC dalam kenyataan hari ini memaklumkan hasil siasatan mendapati berlaku kecuaian oleh pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas sebagai Pegawai Lapang Sasar dan Pegawai Tapak semasa latihan senjata api tersebut dijalankan.

“Pihak pengurusan PLRWU tidak mengemukakan laporan polis dan laporan rasmi kepada Ibu Pejabat RELA berhubung insiden tersebut.

“Turut didapati berlaku ketidakpatuhan terhadap Syarat Kelulusan Lesen/Permit Sementara Senjata Api yang dikeluarkan pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah semasa latihan tersebut dijalankan yang mensyaratkan setiap penembak dibantu oleh pegawai Polis Diraja Malaysia,” kata EAIC. 

Siasatan dilaksanakan selaras dengan Subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700).

Susulan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib RELA dengan syor tindakan tatatertib terhadap pegawai terlibat atas kesalahan di bawah perenggan 4(2)(j) kerana cuai dalam menjalankan tugas sebagaimana diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pindaan) 2002 [P.U.(A) 246].

EAIC turut mengesyorkan pelaksanaan pemurnian dan semakan semula semua prosedur operasi standard berkaitan pengendalian dan latihan senjata api oleh RELA bagi memastikan ia sejajar dengan peruntukan undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan