AM > BERITA

Perpaduan Nasional Semakin Kukuh, IPNas 2025 Atasi Sasaran RMk12 - Aaron

24/02/2026 02:32 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Tahap perpaduan nasional negara menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila skor Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencecah 0.701, sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata lonjakan itu membuktikan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan nasional berada pada landasan tepat, dengan trend peningkatan konsisten daripada 0.567 pada 2018 kepada 0.629 (2022) sebelum mencecah 0.701 tahun lepas.

“Walaupun tahap perpaduan masih berada pada paras sederhana tinggi, skor 2025 menunjukkan trend yang semakin mengukuh. Ini mencerminkan semangat kebangsaan yang tinggi dan keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata faktor terbesar yang memacu IPNas 2025 ialah Tadbir Urus dan Pembangunan (TUP) dengan sumbangan 69.7 peratus, yang menjadi indikator jelas bahawa persepsi rakyat terhadap kecekapan, keadilan dan ketelusan kerajaan semakin positif.

TUP merujuk kepada kecekapan, keadilan dan ketelusan dalam pengurusan kuasa serta sumber oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Dalam kajian ini, TUP diukur berdasarkan persepsi rakyat terhadap enam komponen utama, iaitu pengurusan ekonomi, politik, jenayah, perkhidmatan awam, kemudahan awam dan pengurusan masyarakat, yang mencerminkan tahap keberkesanan kerajaan dalam memenuhi keperluan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Selain TUP, Aaron berkata Etos Nasional menyumbang 46.7 peratus, diikuti Tahap Keetnikan (34.7 peratus) dan Hubungan Sosial Rentas Etnik (31.4 peratus), yang secara kolektif mengukuhkan fabrik sosial negara.

Aaron berkata mengikut wilayah, Sarawak mencatat skor tertinggi, iaitu 0.791, manakala Wilayah Timur kedua tertinggi dengan 0.741.

Wilayah Selatan merekodkan 0.719, Sabah dan Labuan 0.726, manakala Wilayah Tengah (0.670) dan Utara (0.650) berdepan dengan cabaran urbanisasi serta struktur sosioekonomi, namun menunjukkan potensi pengukuhan.

Pada peringkat negeri, Pahang muncul paling kukuh dengan skor 0.817, diikuti Melaka (0.816) dan Sarawak (0.791).

Mengulas lanjut, Aaron berkata tahap perpaduan nasional masih berada pada kategori sederhana dan kekal rapuh jika tidak diperkukuh secara konsisten.

“Trendnya menaik dan memberangsangkan, tetapi perpaduan ialah proses berterusan yang memerlukan intervensi strategik, dasar inklusif dan komitmen semua pihak,” katanya.

Beliau berkata dapatan IPNas 2025 akan terus dijadikan asas dalam memperhalus dasar serta program kementerian bagi memastikan momentum pengukuhan perpaduan nasional dapat dikekalkan dan dipertingkatkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan