KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka mengambil alih pengoperasian di dua lagi pintu masuk utama di utara tanah air, iaitu Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis menjelang suku kedua tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengambilalihan itu ialah sebahagian daripada fasa kedua peluasan operasi AKPS yang kini telah beroperasi secara rasmi di 22 lokasi pintu masuk sejak 1 Jan 2025, dengan pintu masuk pertamanya ialah Rantau Panjang di Kelantan.
"Setakat ini, AKPS menunjukkan prestasi yang membanggakan dengan nilai rampasan melebihi RM80 juta dalam tempoh setahun operasi (perintis)," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad yang ingin tahu status terkini tahap kekuatan AKPS di sempadan Perlis–Thailand khususnya, bagi memerangi jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
Mengulas tentang keperluan sumber manusia, Saifuddin Nasution berkata kerajaan telah meluluskan pengambilan 200 bekas tentera untuk mengisi perjawatan baharu di AKPS sebagai langkah permulaan dalam masa terdekat.
Beliau berkata pemilihan bekas tentera, terutamanya mereka yang bersara pada usia 38 tahun ialah satu strategi "menang-menang" kerana mereka sudah mempunyai disiplin dan kemahiran sedia ada, sekali gus menjimatkan kos latihan.
"Mereka akan bermula dengan gaji RM2,900, di samping pencen yang sedia ada. Kita mahu memanfaatkan kemahiran dan produktiviti mereka untuk keselamatan negara," katanya sambil menjangkakan bekas pesara polis turut akan dimanfaatkan untuk pengambilan perjawatan baharu pada masa akan datang.
Selain itu, beliau berkata AKPS turut bersedia untuk mengawal selia laluan Sistem Transit Pantas (RTS) di antara Bukit Chagar, Johor Bahru dengan Woodlands, Singapura yang dijangka beroperasi pada Oktober ini.
Sebanyak 640 jawatan baharu, katanya, telah diluluskan khusus untuk pengoperasian di RTS bagi mengurus jangkaan pergerakan 10,000 penumpang setiap jam di laluan berkenaan.
Saifuddin Nasution berkata hingga kini, kekuatan anggota AKPS berjumlah 6,883 orang melalui kaedah pindah butiran jawatan, namun kementerian menyasarkan jumlah ideal sebanyak 13,721 anggota pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial