AM > BERITA

Penerusan Penangguhan Kenaikan Tol Tertakluk Kepada Keputusan Kabinet - Nanta

24/02/2026 02:21 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Sebarang keputusan mengenai tempoh kerajaan boleh terus menanggung dan menangguhkan kenaikan kadar tol lebuh raya perlu dibuat oleh Kabinet, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata ini kerana perkara itu melibatkan implikasi kewangan dan dasar kerajaan secara keseluruhan.

Nanta berkata langkah kerajaan menahan semakan semula kadar itu ketika ini bertujuan untuk memastikan kadar tol sedia ada tidak dinaikkan bagi mengurangkan beban rakyat.

“Saya fikir tujuan utama mengapa kerajaan menahan penstrukturan dan menyemak semula adalah supaya kadar tol semasa yang dibayar rakyat sekarang tidak meningkat.

“… kerana jika dibenarkan mengikut perjanjian, kadar tol ini perlu dikaji semula, bermakna kadar tol akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi CIDB Malaysia Datuk Ir Yusuf Abd Wahab.

Nanta berkata implikasi kewangan susulan penangguhan itu sebenarnya ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi.

“Memandangkan rakyat mungkin masih terbeban dengan banyak kos sara hidup dan sebagainya, buat masa ini kerajaan masih menahan, minta syarikat-syarikat ini tangguh dulu kajian semula kadar tol tetapi kerajaan tanggunglah. Pengguna harus tahu bila kenaikan kadar tol ditangguh maka kerajaan yang perlu bayar,” katanya.

Sementara itu, Nanta ketika mengulas mengenai CAP30 berkata pelan itu adalah hala tuju strategik lima tahun bagi menggiatkan transformasi industri pembinaan negara menerusi elemen pendigitalan, kemampanan dan daya saing antarabangsa.

Beliau berkata pelaksanaan komprehensif pelan itu turut menyokong Dasar Pembinaan Negara 2021-2030 (NCP 2030) Kementerian Kerja Raya (KKR) yang kini dalam fasa pelaksanaan.

“CAP30 pula diwujudkan sebagai pelan tindakan bagi tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030 yang berperanan untuk memperkukuh sektor pembinaan yang dipacu oleh pihak industri dan rakan strategik serta disokong melalui tadbir urus dan penyelarasan oleh CIDB,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan