KUANTAN, 24 Feb (Bernama) -- Seorang juruteknik aksesori kenderaan di sini, nekad menggunakan wang simpanan peribadinya sebanyak RM33,000 untuk membeli makanan demi memastikan haiwan terbiar di jalanan tidak mati kelaparan.
Muhammad Arvin Abdullah, 43, berkata inisiatif itu mula dilakukan ketika pandemik COVID-19 pada 2020 hingga kini, didorong oleh rasa simpati terhadap kucing dan anjing jalanan.
"Bagi saya, tindakan ini adalah untuk membela nasib kucing dan anjing jalanan supaya haiwan ini turut diberi perhatian," katanya kepada pemberita di Bukit Setongkol di sini, semalam.
Dia dan isteri Nor Iwani Shahudin, 38, pada mulanya menyelamatkan dan memelihara 28 ekor kucing sahaja, namun jumlahnya meningkat kepada lebih 100 ekor daripada pelbagai baka kini, dan kebanyakannya dibawa pulang dalam keadaan sakit.
Muhammad Arvin berkata setiap bulan, kira-kira RM6,000 diperlukan untuk menampung kos makanan, pasir khas dan rawatan veterinar memandangkan sebahagian kucing memerlukan rawatan akibat sakit atau kecederaan.
"Alhamdulillah, setakat ini keperluan termasuk makanan untuk haiwan terbiar di sekitar bandar raya Kuantan masih mencukupi, terima kasih kepada rakan dan isteri yang banyak memberikan sokongan. Hampir setiap malam juga saya meronda untuk memberikan makanan kepada kucing dan anjing jalanan," katanya.
Dia turut berkongsi impian untuk membina sebuah taman kucing bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan haiwan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial