AM > BERITA

Masjid Digesa Pasang Solar Bawah Program ATAP, Sokong Sasaran Peralihan Tenaga Negara

24/02/2026 05:54 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Masjid di seluruh negara digesa memohon pemasangan solar bumbung di bawah Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (ATAP) yang dilancarkan pada 1 Jan lepas bagi memperluas penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB), selaras dengan sasaran peralihan tenaga negara.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata pemasangan solar amat bersesuaian bagi masjid yang mencatat bil elektrik tinggi mencecah antara RM1,000 hingga RM1,500, sebulan.

Beliau berkata walaupun ketika ini tiada subsidi disediakan untuk pemasangan solar bumbung di masjid dan kadar yang dikenakan adalah mengikut kadar sebenar, penjimatan jangka panjang menjadikan pemasangan solar sebagai pilihan wajar bagi premis berkenaan.

“(Kos) pemasangan solar bermula daripada antara RM60,000 ke RM70,000 dan penjimatannya mencecah sehingga 80 peratus. Kalau (bil) RM1,000 ertinya kita hanya perlu membayar RM200 sebulan,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang bertanya mengenai pembudayaan TBB melalui masjid dan sekolah.

Abdul Rahman berkata program ATAP adalah penting dalam menyokong usaha negara meningkatkan kapasiti TBB kepada 35 peratus menjelang 2030 serta 70 peratus kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber TBB menjelang 2050.

Menyentuh cadangan mewajibkan integrasi TBB bagi pembinaan masjid dan sekolah baharu, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada kerajaan negeri dan Kementerian Pendidikan, namun kementeriannya bersedia membantu mana-mana pihak yang berhasrat memasang panel solar dan sistem penyimpanan tenaga di institusi berkenaan. 

Abdul Rahman berkata kementerian juga bersedia mengadakan sesi libat urus bersama komuniti termasuk imam, ketua kampung dan golongan wanita bagi memperjelas sasaran peralihan tenaga negara menjelang 2030 dan 2050.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan belum mempunyai perancangan untuk melaksanakan program pemasangan solar khusus bagi golongan B40 memandangkan kebiasaannya penggunaan panel solar hanya melibatkan premis dengan bil melebihi RM300 sebulan.

“Kebiasaannya solar ini digunakan apabila bil melebihi RM300. Tak mungkin (bil) B40 ini melebihi RM300,” katanya.

Abdul Rahman berkata usaha menjadikan TBB sebagai agenda nasional dilaksanakan melalui pendekatan menyeluruh yang merangkumi pembangunan infrastruktur, intervensi pendidikan dan perubahan tingkah laku menerusi Program Literasi Tenaga Malaysia (MELP).

Beliau berkata pelaksanaan MELP melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi dan masyarakat umum dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan rakan industri.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan