KBS PERHALUSI GARIS PANDUAN BENDUNG KEGANASAN AKIBAT PERMAINAN DIGITAL
KUALA LUMPUR -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka garis panduan bersama Kementerian Digital dan Kementerian Pendidikan bagi permainan dalam talian sebagai usaha membendung keganasan dalam kalangan golongan muda.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata langkah itu penting susulan terdapat trend unsur keganasan elemen agresif dan ekstrem, yang berpunca daripada interaksi dalam talian ketika bermain permainan video sehingga mempengaruhi pemikiran anak muda.
Selain pengawasan di alam maya, beliau berkata KBS juga melaksanakan pendekatan psikososial berfokus seperti penyaluran emosi terkawal (Projek Dengar Rakan Muda), penganjuran kem intervensi yang merangkumi bengkel motivasi dan simulasi sosial serta menawarkan alternatif yang sihat melalui aktiviti kesukarelawanan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Niran Tan Kran mengenai langkah pencegahan awal kerajaan bagi membendung keganasan belia pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
-- BERNAMA
PROJEK RINTIS PLKN 3.0 DI UNIVERSITI BERMULA JULAI DAN OGOS INI
KUALA LUMPUR -- Projek rintis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di institusi pengajian tinggi akan dilaksanakan pada Julai dan Ogos tahun ini melibatkan kira-kira 6,000 pelajar termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta tiga politeknik.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pelaksanaan itu adalah sebahagian daripada pendekatan berfasa PLKN 3.0 yang menyasarkan golongan berusia antara 16 hingga 35 tahun merangkumi peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata di peringkat sekolah menengah, program telah dimulakan melalui Kem Pemimpin Generasi MADANI sejak Julai 2025 di 2,466 sekolah, melibatkan 20 peratus pelajar Tingkatan Empat atau kira-kira 73,000 pelajar.
“Di peringkat Kementerian Pertahanan, latihan dilaksanakan di kem wataniah dengan sasaran keseluruhan 25,000 peserta,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Azahar Hassan mengenai kesediaan kementerian itu menjadikan PLKN sebagai program wajib kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Adly berkata Kementerian Pertahanan melihat keperluan menjadikan PLKN sebagai khidmat wajib negara, namun pelaksanaannya bergantung kepada keperluan serta keupayaan fasiliti sedia.
-- BERNAMA
KPM TAMBAH 350 KELAS PRASEKOLAH TAHUN INI, PERKUKUH PERSIAPAN PENDIDIKAN WAJIB 2027
KUALA LUMPUR -- Kementerian Pendidikan (KPM) menambah sebanyak 350 kelas prasekolah baharu di seluruh negara tahun ini, berbanding 150 kelas pada tahun lepas sebagai usaha persiapan rapi mewajibkan pendidikan prasekolah pada usia lima tahun bermula pada 2027.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata setakat 12 Feb lepas, sebanyak 10,514 kelas prasekolah telah beroperasi di 6,469 institusi di bawah KPM, yang kini meliputi 82 peratus daripada keseluruhan sekolah rendah di seluruh negara.
"Selain pembinaan bilik darjah baharu, KPM turut menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi mempercepat penyediaan fasiliti mengikut keperluan setempat bagi menampung peningkatan enrolmen murid," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead yang ingin tahu mengenai perancangan kerajaan untuk membuka prasekolah di semua sekolah rendah dan menjadikannya sebagai pendidikan wajib bagi semua murid sebagai persediaan ke tahun satu.
Daripada segi kemudahan fizikal menampung keperluan prasekolah dan sekolah rendah ekoran pelaksanaan dasar itu, Wong berkata perluasan itu tidak hanya tertumpu di sekolah rendah, malah turut secara progresif ke sekolah menengah dan institusi KPM lain.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial