SHAH ALAM, 25 Feb (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melancarkan Festival Ramadan Selangor 2026 (FESTIRA 2026) di Aneka Walk, Seksyen 14 di sini, yang menghimpunkan lebih 950 usahawan tempatan di empat lokasi utama.
Ketua Pegawai Eksekutif SA Sentral Datuk Mohd Najib Ibrahim berkata festival edisi ke-12 itu menyasarkan kehadiran tiga juta pengunjung sepanjang penganjuran dari 30 Jan hingga 20 Mac ini di Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall, Aneka Walk dan Kompleks PKNS Bangi.
“Kita berharap peniaga yang bermula di gerai bazar dan Fiesta Ramadan ini akan terus berdaya saing serta berpeluang melangkah ke Kompleks PKNS dan SACC Mall,” katanya pada majlis perasmian festival itu hari ini.
Bertemakan “Seindah Cerita Raya Kita”, festival itu menawarkan pelbagai kategori jualan termasuk fesyen dan aksesori Aidilfitri, kuih raya dan kerepek, juadah berbuka puasa serta barangan keperluan harian.
FESTIRA 2026 yang disokong rakan strategik seperti PKNS Super App, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Bateriku.com turut dimeriahkan dengan aktiviti komuniti termasuk program kerohanian, aktiviti keluarga, agihan bubur lambuk percuma serta persembahan selebriti tempatan.
Mohd Najib berkata keunikan penganjuran tahun ini diperkukuh menerusi pengenalan FESTIRA+ di Aneka Walk yang menampilkan konsep bazar raya dalam suasana ruang bandar terbuka dan berbumbung.
Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja memperluas skala penganjuran malah menjadikan Aneka Walk sebagai lokasi pengaktifan utama yang menggabungkan jualan, pengalaman membeli-belah Aidilfitri dan aktiviti komuniti dalam satu platform bersepadu.
“Pendekatan ini mencerminkan evolusi FESTIRA daripada festival jualan bermusim kepada pengalaman bandar yang lebih dinamik dan berimpak tinggi,” katanya.
Aneka Walk meliputi keluasan 4,500 meter persegi sepanjang 300 meter dan mampu menampung hingga 3,000 pengunjung pada satu-satu masa, selain menyediakan lebih 140 unit ruang niaga untuk pelbagai skala perniagaan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata festival berkenaan bukan sahaja menambah nilai gaya hidup di Shah Alam yang terkenal sebagai kawasan penempatan matang dan berorientasikan keluarga, malah berpotensi menarik lebih ramai golongan muda ke kawasan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial