AM > BERITA

'Emas Kelantan' Dipromosi Produk Pelancongan Menerusi Bulan Emas 2026

25/02/2026 10:25 PM

KOTA BHARU, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri menyarankan pengusaha kedai emas menawarkan reka bentuk serta kadar upah lebih kompetitif sepanjang Program Bulan Emas Kelantan 2026 yang berlangsung dari 1 hingga 31 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata penganjuran julung kali program itu bersempena Ramadan dan Aidilfitri dijangka mampu menarik lebih ramai pengunjung ke lokasi tumpuan perniagaan emas di negeri berkenaan.

Beliau berkata program berkenaan dijangka menjadi platform untuk memperkukuh industri emas tempatan, selain merancakkan aktiviti ekonomi peniaga menjelang musim perayaan.

“Program ini juga dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memiliki emas sebagai simpanan nilai,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran program itu di sini, hari ini.

Beliau berkata kawasan seperti Pasar Siti Khadijah dan Bazar Tuan Padang sememangnya popular sebagai pusat perniagaan emas dan akan terus dipromosikan sebagai destinasi beli-belah emas.

Katanya walaupun tiada perancangan untuk mewartakan kawasan tertentu sebagai ‘zon emas’, kerajaan negeri akan mempergiat usaha promosi di lokasi sedia ada bagi meningkatkan daya tarikan kepada pelawat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan