AM > BERITA

Malaysia Harap Iran-AS Teruskan Rundingan Nuklear, Elak Cetus Perang

26/02/2026 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Malaysia berharap Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan meneruskan rundingan nuklear dan mengekalkan pendekatan diplomasi bagi meredakan ketegangan, sekali gus mengelakkan tercetusnya peperangan yang boleh menjejaskan ekonomi dunia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rundingan yang sebelum ini diadakan di Oman dan disambung di Geneva hari ini, menunjukkan masih terdapat ruang untuk kedua-dua pihak mencapai persefahaman melalui saluran diplomatik.

Beliau berkata Oman bertindak sebagai mediator dan fasilitator dalam rundingan tersebut, dan Malaysia telah menggunakan saluran diplomatik bagi menggesa supaya kedua-dua pihak stand down atau bertenang serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan konflik bersenjata.

“Sekiranya peperangan berlaku antara Iran dan Amerika Syarikat, impaknya amat besar bukan sahaja kepada Iran dan rantau Asia Barat, tetapi juga kepada dunia secara keseluruhannya termasuk Malaysia,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai penilaian Wisma Putra tentang kemungkinan berlakunya konflik bersenjata antara Iran dengan AS serta implikasi terhadap keselamatan serantau.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata peningkatan kehadiran aset ketenteraan AS di Laut Parsi dan Teluk Parsi, termasuk penggerakan kapal pengangkut pesawat USS Gerald R Ford ke kawasan itu baru-baru ini, menunjukkan keseriusan pendirian Washington dalam isu keupayaan nuklear Iran.

Beliau berkata sebarang konflik berskala besar boleh menyebabkan laluan strategik seperti Laut Parsi dan Selat Hormuz ditutup, sekali gus mengganggu bekalan tenaga dunia.

“Penutupan laluan tersebut akan menjejaskan bekalan minyak dan gas dunia. Kekurangan bekalan akan menyebabkan kemungkinan harga komoditi melonjak tinggi...gangguan ini akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada perdagangan global serta kestabilan ekonomi dunia, termasuk Malaysia.

“Iran merupakan negara pengeluar minyak kedua terbesar dunia dan sebarang gangguan terhadap pengeluaran atau penghantaran minyak dari negara itu akan memberi kesan ketara kepada pasaran global,” katanya.

Mohamad berkata situasi itu berisiko mengulangi impak seperti yang berlaku susulan konflik Rusia-Ukraine yang menjejaskan pengeluaran makanan dan bahan galian dunia hingga meningkatkan harga barangan.

Mohamad berkata penilaian Malaysia terhadap situasi Iran-AS itu dibuat berdasarkan laporan perwakilan Malaysia di rantau berkenaan, maklumat rakan strategik serta penilaian badan antarabangsa.

Pada masa sama, beliau berkata Malaysia secara konsisten mengamalkan dasar berkecuali serta berprinsip dalam mengutamakan keamanan dan kesejahteraan sejagat.

“Mana-mana negara yang melakukan pencerobohan, peperangan atau keganasan terhadap kemanusiaan akan kita kecam, tanpa mengira siapa kerana tindakan mereka membawa kemudaratan kepada kemanusiaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan