AM > BERITA

RM7.8 Juta Tangani Pencerobohan Kawasan Tangkapan Nelayan Melaka, Negeri Sembilan

26/02/2026 02:07 PM

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Kerajaan memandang serius isu pencerobohan kawasan tangkapan antara nelayan Melaka dan Negeri Sembilan yang bukan sahaja melibatkan pematuhan undang-undang tetapi juga berkait rapat dengan kelestarian sumber serta keharmonian komuniti nelayan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bagi menangani isu itu, kerajaan memperuntukkan RM7.8 juta pada tahun ini untuk memperkukuh pelaksanaan sistem pemantauan, kawalan dan pengawasan termasuk penyelarasan tindakan penguatkuasaan.

“Di kawasan pantai, Zon A ditetapkan sehingga lima batu nautika, Zon B (12 batu nautika) dan Zon C ke kawasan laut dalam. Semua itu perlu dilihat secara menyeluruh bagi menjaga kawalan sumber ikan di kawasan pantai kita,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Mohamad menjawab pertanyaan Senator Datuk Wu Him Ven yang ingin tahu langkah dan mekanisme diambil bagi menangani pencerobohan kawasan tangkapan antara nelayan Negeri Sembilan dan Melaka yang sering berulang.

Beliau berkata kerajaan turut memperbanyak aktiviti perikanan semula di kawasan pantai serta bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menambah taman laut dan kawasan larangan tangkapan bagi membolehkan pembiakan semula ikan.

Selain itu, pendekatan pencegahan melalui advokasi berterusan, pendidikan mengenai zon tangkapan dan penyebaran maklumat kepada komuniti nelayan juga akan dipertingkat bagi mengurangkan konflik di lapangan.

Mohamad berkata berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia dari 2021 hingga 2025, sebanyak 137 kes tangkapan direkodkan di Melaka dan 14 di Negeri Sembilan melibatkan pelbagai pelanggaran di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Mengenai status terkini Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (Program TEMAN-AKUA), beliau berkata sehingga kini, sebanyak 22 nelayan berpotensi telah dikenal pasti untuk menerima bantuan peralatan serta input ternakan membabitkan anggaran peruntukan RM500,000.

Daripada jumlah itu, 10 peserta dari Perlis, Negeri Sembilan (lima) dan Melaka (tujuh).

“Bantuan turut merangkumi latihan, pemindahan teknologi, peningkatan kapasiti teknikal serta khidmat nasihat bagi memastikan peserta mampu mengendalikan projek akuakultur secara berdaya maju,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan