AM > BERITA

i-CATS Terajui Program Capaian Solar Bagi Sekolah Menengah Di Sarawak

26/02/2026 03:52 PM

KUCHING, 26 Feb (Bernama) -- Kolej Universiti i-CATS menerajui inisiatif capaian solar bagi khidmat masyarakat menerusi Program Solar Futures – Memperkasa Sekolah melalui Latihan dan Inovasi untuk membantu pelajar sekolah menengah di Sarawak membina kemahiran teknikal praktikal dalam tenaga solar.

i-CATS menerusi satu kenyataan hari ini berkata program yang dibiayai oleh Persatuan Peranti Elektron IEEE (IEEE EDS) itu memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar melalui latihan pemasangan, pengujian dan penyelesaian masalah asas sistem solar sekali gus membolehkan mereka mempraktikkan teori  bilik darjah dalam situasi teknikal sebenar.

Dilaksanakan sebagai program capaian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersepadu dan Service Learning Malaysia–University For Society (SULAM), Solar Futures memperkenalkan pelajar sekolah kepada tenaga solar dan kaedah teknologi memanfaat sumber tenaga semula jadi di samping menyediakan pelajar i-CATS dengan pengalaman pembelajaran perkhidmatan yang bermakna melalui penglibatan sekolah-komuniti.

“Fasa pertama yang memfokuskan kepada latihan dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu pada 4 Dis tahun lepas dan SMK Singai pada 11 Dis.

"Menggunakan kit latihan solar binaan khas yang dibangunkan oleh pasukan projek, para peserta mempelajari cara membaca gambarajah skematik mudah, mengenal pasti komponen utama, memasang litar solar, melakukan pendawaian dan sambungan asas serta menjalankan ujian dan pengukuran," menurut kenyataan itu.

Menurut i-CATS, program itu memasuki fasa keduanya bulan ini, dengan penekanan utama kepada latihan praktikal apabila pasukan projek kembali semula ke sekolah untuk memperkukuh kemahiran teknikal pelajar.

“Sesi susulan di SMK Singai pada 11 Februari lalu dan di SMK Lundu pada keesokan harinya (12 Februari) melibatkan sistem lampu solar dan lampu jalan sebenar, termasuk kerja penyambungan, pengujian dan pemeriksaan praktikal.

"Para pelajar juga didedahkan kepada prosedur keselamatan dan pemeriksaan teknikal asas, termasuk pengesahan kekutuban dan kesinambungan, bagi memastikan operasi sistem yang betul," menurutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan