KANGAR, 26 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan 941 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) membuang sampah kecil di tujuh negeri, yang melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) setakat semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp Khalid Mohamed berkata notis itu dikeluarkan kepada 741 warganegara tempatan manakala selebihnya warganegara asing.
Beliau berkata statistik itu memperlihatkan pelaksanaan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan yang konsisten bagi memastikan tahap kebersihan awam sentiasa terkawal, khususnya di kawasan berintensiti tinggi.
“SWCorp tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan kebersihan dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan serta berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khalid ketika mengulas mengenai Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) yang dikuatkuasakan bermula 1 Jan lepas menerusi akta itu berkata ia mencerminkan pendekatan pembetulan tingkah laku yang memberikan peluang kepada pesalah merasai sendiri cabaran kerja pembersihan awam, sekali gus menyedarkan mereka tentang kesan perbuatan itu terhadap persekitaran dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam pada itu, bercakap kepada pemberita selepas pendakwaan terhadap tiga lelaki dituduh membuang puntung rokok di tempat awam Januari lepas di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, beliau berharap masyarakat mengambil perhatian serius terhadap kesalahan membuang sampah kecil itu.
Khalid berkata pada peringkat awal pelaksanaan PKM itu Januari lepas, kebanyakan sampah kecil ditemukan dibuang di tempat awam ialah puntung rokok.
“Kami ingin mengingatkan perokok, kami bukan menangkap mereka yang menghisap rokok, itu di luar bidang kuasa kami, kami lakukan adalah perlakuan membuang puntung rokok itu di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan tiga lelaki masing-masing didenda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama lapan jam oleh Mahkamah Sesyen itu akibat membuang puntung rokok di tempat awam.
Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid membuat keputusan itu selepas dua penjawat awam, iaitu Idzham Husin, 43, dan Ahmad Nasri Mohammad Yusof, 47, serta pemandu pengorek kaut Putra Che Ani, 59, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan itu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 30 hari sekiranya semua mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) itu gagal membayar denda selain tempoh khidmat masyarakat berkenaan perlu diselesaikan dalam enam bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial