MELAKA, 26 Feb (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima sumbangan geran endowmen sebanyak RM51 juta daripada syarikat Aeronas Aerocraft Sdn Bhd (Aeronas) bagi tujuan penyerlahan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aeroangkasa.
UTeM dalam kenyataan memaklumkan sumbangan disampaikan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (Memangku) syarikat itu Raja Shazreen Petra kepada Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin pada Sidang Akademia Penyelidikan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri 2026 baru-baru ini.
Majlis disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi Profesor Datuk Dr Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM Datuk Dr Husaini Omar.
Sementara itu, Massila dalam kenyataan sama berkata sumbangan tersebut dapat membantu UTeM memperhebat usaha memperkasakan TVET aeroangkasa selain menjadi lonjakan strategik bagi memastikan universiti itu terus dinamik dan menjadi rujukan utama.
Beliau berkata pemberian geran itu menzahirkan kepercayaan pihak industri terhadap UTeM selain kemenjadian hubungan strategik antara universiti dan industri memberikan impak langsung yang sangat positif.
Sokongan Aeronas itu juga akan meningkatkan lagi keupayaan aeroangkasa di samping keupayaan pembuatan termaju UTeM serta integrasi antara program industri dan platform akademik.
“Sokongan berterusan daripada industri sebegini juga menjadi instrumen pemangkin untuk membuka kunci geran negara, dana padanan dan pelaburan strategik.
“Ia mampu melonjakkan UTeM sebagai pusat kecemerlangan yang menyokong pensijilan industri, kesediaan pembuatan, penyelidikan dan pembangunan gunaan serta pembangunan bakat,” katanya.
Massila berkata usaha itu seiring dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di rantau Asia Tenggara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing.
Beliau berkata program TVET aeroangkasa itu akan dijalankan sepenuhnya di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) serta Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri Pembuatan (FTKIP).
Pada masa yang sama, beliau berkata UTeM turut berkolaborasi dalam bidang TVET aeroangkasa pada peringkat global bersama-sama Moscow Aviation Institute dari Rusia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial