AM > BERITA

Daftar Pemilih Tambahan Januari 2026 Dibuka Untuk Semakan - SPR

27/02/2026 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Januari Tahun 2026 (DPT BLN1/2026) boleh dibuat bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 28 Mac, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Khairul Shahril Idrus.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata DPT BLN1/2026 yang diperaku semalam dan diwartakan hari ini, mengandungi 38,705 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan 2026 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Selain itu, DPT berkenaan turut mengandungi 11,731 orang pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,170 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Jan 2026 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran kategori pengundi/ status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN1/2026.

Beliau berkata semakan boleh dibuat melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my, aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my, aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih 03-8892 7218.

Khairul Shahril berkata sekiranya nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN1/2026, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian SPR atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Di samping itu, beliau berkata mana-mana pemilih berdaftar yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang bertukar ke bahagian pilihan raya, mereka boleh mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian SPR atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri yang berkenaan.

Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal pejabat pilihan raya negeri di http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada pengarah pilihan raya negeri berkenaan untuk serahan serta pembayaran fi bantahan pada waktu pejabat sepanjang tempoh semakan DPT BLN1/2026.

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan