AM > BERITA

Tingkatan Enam Pendidikan Pascamenengah, Persediaan Masuk Universiti - PM Anwar

28/02/2026 10:59 PM

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelajar Tingkatan Enam kini dikategorikan di bawah pendidikan pascamenengah adalah sejajar dengan program prauniversiti, asasi dan matrikulasi bagi meningkatkan persediaan mereka memasuki alam universiti.

“Saya arah supaya semua Tingkatan Enam masuk kategori post-secondary (pascamenengah). (Contoh) kalau saya Tingkatan Enam, saya tidak suka dianggap macam anak sekolah. Jadi kita buat perubahan dasar, semua post-secondary adalah di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sesi santai bersama pelajar dan mahasiswa sempena Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kompleks Seri Perdana hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Adam Adli Abdul Halim serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata pengkategorian itu juga dilaksanakan selepas program Tingkatan Enam dikatakan “terabai” berbanding program matrikulasi dan laluan prauniversiti lain.

Pada 20 Jan lepas, Anwar pada majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 dilaporkan berkata KPT akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti membabitkan Tingkatan Enam dan matrikulasi bermula tahun ini, sekali gus menjadikan kedua-dua kelompok itu secara rasmi adalah pelajar pendidikan tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan