AM > BERITA

ABIM Gesa Henti Segera Tindakan Ketenteraan Terhadap Iran

28/02/2026 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa penghentian segera segala tindakan ketenteraan susulan serangan terhadap Iran yang berisiko mencetuskan konflik lebih luas di Timur Tengah.

Presidennya Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam kenyataan berkata ABIM memandang serius dan mengutuk tindakan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran dan beberapa wilayah di Lubnan.

“Serangan ini berlaku ketika saluran diplomatik dan rundingan berkaitan isu nuklear masih berjalan. Tindakan ketenteraan dalam suasana rundingan yang belum tertutup sepenuhnya bukan sahaja merencatkan proses damai, malah menghantar mesej bahawa kekuatan bersenjata didahulukan berbanding komitmen terhadap diplomasi,” katanya.

Beliau berkata penggunaan kekerasan secara unilateral tanpa mandat kolektif antarabangsa melanggar prinsip asas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya Perkara 2(4) yang melarang ancaman atau penggunaan kekuatan terhadap integriti wilayah sesebuah negara.

Ahmad Fahmi berkata peningkatan itu mencerminkan krisis kredibiliti sistem antarabangsa apabila kuasa besar dilihat tidak konsisten mematuhi prinsip yang sama yang dituntut daripada negara lain, sambil menegaskan undang-undang antarabangsa tidak boleh bersifat selektif atau tunduk kepada kepentingan geopolitik.

Beliau berkata normalisasi tindakan ketenteraan atas alasan pencegahan atau dakwaan ancaman masa depan berisiko membuka jalan kepada budaya peperangan ‘pre-emptive’ yang berbahaya dan tidak terkawal.

“Timur Tengah telah terlalu lama menjadi medan percaturan kuasa besar. Satu lagi gelombang peperangan hanya akan memperdalam penderitaan rakyat awam, menggugat kestabilan serantau dan memberi kesan limpahan kepada ekonomi serta keselamatan global,” katanya.

Sehubungan itu, ABIM menyeru penghentian segera semua tindakan ketenteraan dan pembalasan, kembalikan pihak terlibat ke meja rundingan tanpa prasyarat serta menegaskan komitmen antarabangsa terhadap kedaulatan, undang-undang dan penyelesaian konflik secara diplomatik.

Beliau berkata keamanan yang adil tidak lahir daripada dominasi ketenteraan sebaliknya hanya dapat dicapai melalui keadilan, penghormatan terhadap kedaulatan serta kesediaan untuk berunding secara bermaruah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan