AM > BERITA

Utamakan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Anggota PDRM - Lee

01/03/2026 02:40 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi perhatian segera terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) anggotanya bagi mencegah kecederaan serta kematian yang boleh dielakkan semasa operasi.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata keselamatan dan kesejahteraan anggota polis yang berkhidmat sebagai barisan hadapan di kawasan awam berisiko tinggi mesti dianggap sebagai keutamaan negara.

“Beberapa insiden tragik telah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menyaksikan anggota polis cedera parah atau kehilangan nyawa semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan seperti sekatan jalan raya, operasi lalu lintas dan tugasan pencegahan jenayah.

“Kehilangan seperti ini amat dikesali dan tidak sepatutnya diterima sebagai risiko pekerjaan yang tidak dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata kepimpinan polis diseru supaya menjalankan semakan menyeluruh dan bebas terhadap semua prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan operasi penguatkuasaan, terutamanya yang dijalankan di lebuh raya dan jalan bandar yang sibuk.

Beliau berkata semakan itu dicadangkan agar dijalankan dengan penglibatan pakar KKP bertauliah, pakar keselamatan jalan raya serta profesional pengurusan risiko.

Lee berkata antara bidang utama yang perlu diteliti ialah lokasi dan reka bentuk sekatan jalan raya bagi memastikan penglihatan yang baik dan zon penampan, penggunaan peralatan pelindung berwarna terang serta penyelarasan yang lebih baik bagi langkah-langkah kawalan lalu lintas bersama pengendali lebuh raya.

Beliau berkata bidang utama lain termasuk pengurusan keletihan bagi mengurangkan kesilapan manusia, penambahbaikan protokol tindak balas pantas sekiranya berlaku kecemasan, serta pelaksanaan audit KKP secara berkala dan bebas terhadap amalan penguatkuasaan.

“Keselamatan mesti dijadikan asas dalam setiap operasi penguatkuasaan sebagai prinsip yang tidak boleh dikompromi. Budaya keselamatan dalam pasukan polis bukan sahaja akan melindungi anggota, malah turut meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap aktiviti penguatkuasaan.

“Sebagai Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, saya yakin bahawa melindungi mereka yang melindungi kita adalah tanggungjawab bersama. Dengan memperkukuh standard KKP dalam pasukan polis, kita menunjukkan penghormatan dan penghargaan terhadap khidmat serta pengorbanan mereka,” katanya.

Lee berkata melindungi anggota penguat kuasa adalah tanggungjawab bersama dan langkah proaktif yang diambil hari ini akan memelihara nyawa mereka yang menjaga keselamatan orang awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan