AM > BERITA

Jemaah Terkandas Di Jeddah Beli Sendiri Tiket Penerbangan Pulang

01/03/2026 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Sebahagian jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Jeddah, Arab Saudi membeli tiket penerbangan sendiri untuk pulang ke tanah air selepas penerbangan gantian Malaysia Airlines (MAS) ditunda sekali lagi ke Rabu ini (4 Mac).

Seorang jemaah, Mohd Nasarudin Kassim, 57, berkata jadual penerbangan MH159 yang sepatutnya berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 9.30 malam, esok (waktu tempatan) telah dibatalkan dan dijadualkan semula ke Rabu ini.

“Saya telah membeli tiket Saudi Airlines dengan bayaran sendiri untuk pulang segera dan ada juga (jemaah) lain yang turut serta,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nasarudin dijadual berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada 2.15 pagi Isnin (waktu tempatan) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 3.15 petang hari sama.

Terdahulu, kira-kira 55 jemaah di bawah kendalian sebuah agensi yang menawarkan pakej umrah dilaporkan terkandas di Jeddah selepas penerbangan asal mereka pada awal pagi Sabtu dibatalkan.

Ketegangan di Timur Tengah meningkat apabila Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu sebelum Iran melaksanakan serangan balas misil ke wilayah Israel serta ke kemudahan tentera AS di Timur Tengah.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei dilaporkan terbunuh susulan serangan pada pagi Sabtu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan