AM > BERITA

Dividen KWSP 6.15 Peratus, Bukti Kerajaan Jamin Persaraan Selesa

02/03/2026 10:13 AM

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pengumuman dividen sebanyak 6.15 peratus bagi simpanan konvensional dan syariah oleh Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 mencerminkan keupayaan dana persaraan negara mengekalkan prestasi mampan dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Kadar itu bukan sahaja menepati jangkaan pasaran, malah memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemampanan simpanan persaraan rakyat serta pengurusan dana yang berhemat dan berorientasikan pulangan jangka panjang.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Wye Chung Khain berkata prestasi berkenaan mencerminkan kecekapan pentadbiran Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem saraan negara.

Beliau berkata dividen itu menepati jangkaan umum serta pakar ekonomi dan dijangka meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap daya tahan ekonomi Malaysia yang disokong dasar pelaburan stabil dan mesra perniagaan.

“Keadaan ekonomi semasa menyaksikan pertumbuhan yang mampan dengan kadar pengangguran yang rendah serta pelaburan langsung asing yang semakin meningkat.

“Semua ini menyediakan platform pelaburan yang kukuh untuk menarik lebih ramai pelabur asing yang berkualiti, terutama dalam teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Bernama.

Wye berkata pelbagai dasar pembangunan sumber manusia, peningkatan kemahiran dan penuaan aktif yang dilaksanakan kerajaan turut menyumbang kepada daya tahan ekonomi jangka panjang.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Md Fauzi Ahmad berkata walaupun terdapat harapan dalam kalangan pencarum untuk kadar lebih tinggi setiap tahun, prestasi dana persaraan banyak dipengaruhi keadaan pasaran modal serta faktor global.

Beliau berkata kadar 6.15 peratus itu sedikit rendah berbanding 6.30 peratus pada 2024, namun masih mencerminkan prestasi kukuh dalam suasana ketidaktentuan termasuk konflik di Timur Tengah dan Ukraine–Rusia.

Md Fauzi berkata pengukuhan ringgit turut mempengaruhi nilai pulangan pelaburan luar negara apabila ditukar kepada mata wang tempatan.

Sabtu lepas, KWSP mengumumkan dividen 6.15 peratus bagi 2025 untuk kedua-dua akaun dengan jumlah agihan RM79.6 bilion.

Bagi tahun berakhir 31 Dis 2025, dana itu merekodkan pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada 2024, manakala keahlian bertambah kepada 18.1 juta orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan