KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan memberikan jaminan bahawa kajian kebolehlaksanaan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, yang sedang dilaksanakan, tidak akan dibuat secara terburu-buru tanpa mengambil kira sejarah pembentukan Kuala Lumpur serta peruntukan sedia ada.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata sejarah ialah aspek penting yang akan dihormati dalam kajian berkenaan.
“Kita tunggu dahulu hasil kajian. Saya akan pastikan ia dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dibincangkan. Kita tidak akan menyentuh kuasa-kuasa Yang di-Pertuan Agong ataupun kuasa-kuasa Raja-Raja.
“Saya beri jaminan jangan risau kerana yang akan diwujudkan dalam pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ialah berasaskan undang-undang, bukan sahaja Akta Ibu Kota sedia ada, tetapi kita menghormati semua kuasa Raja, kuasa Eksekutif dan kuasa Legislatif serta sejarah pembentukan Kuala Lumpur,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu sama ada kerajaan akan mengambil kira aspek sejarah Kuala Lumpur dalam kajian kebolehlaksanaan pindaan akta berkenaan.
Sebelum ini, Hannah berkata kajian kebolehlaksanaan cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, termasuk pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur, dijangka selesai pada hujung bulan ini.
Kajian menyeluruh oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bertujuan melaksanakan reformasi tadbir urus DBKL, susulan Rang Undang-Undang Persendirian yang dikemukakan beberapa Ahli Parlimen pada November 2025.
Menyentuh kebimbangan bahawa kajian berkenaan menunjukkan hasrat untuk mengubah kuasa pelantikan Datuk Bandar yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Hannah berkata kajian itu telah diberikan kepada UIAM sebelum beliau dilantik sebagai Menteri.
“Kajian ini telah diberikan kepada UIAM sebelum saya masuk kementerian, sebelum saya dilantik sebagai Menteri Wilayah. Kajian itu telah dimuktamadkan dan diberikan kepada UIAM awal Disember (tahun lepas). Saya masuk 17 Disember.
“Jadi, sangkaan bahawa Menteri DAP hendak menyentuh kuasa itu tidak benar. Kajian ini telah wujud sebelum saya masuk,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial