KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata cadangan pindaan itu juga tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan terhadap kerajaan.
“Dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Perdana Menteri bergantung pada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Namun, Perlembagaan tidak menetapkan had tempoh jawatan tersebut, walaupun jawatan ini memegang peranan yang amat besar dalam pentadbiran negara,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Justeru, Anwar berkata pindaan itu dikemukakan untuk melengkapkan kerangka Perlembagaan sedia ada dengan satu mekanisme semak dan imbang tambahan yang bersifat institusi, bukan peribadi.
Anwar berkata pembentangan rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.
Beliau berkata ia merupakan manifestasi komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat dan dilaksanakan melalui proses Perlembagaan serta Parlimen.
Perdana Menteri berkata cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu dan telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi institusi negara, sekali gus mencerminkan kesedaran bahawa demokrasi yang matang memerlukan pembaharuan berprinsip.
Anwar berkata kerajaan mengambil langkah menterjemahkan wacana berkenaan sebagai satu iltizam yang jelas untuk melaksanakan reformasi secara konsisten, bertanggungjawab dan berlandaskan Perlembagaan, setelah meneliti amalan terbaik antarabangsa serta keperluan kestabilan dan keyakinan rakyat.
“Dari sudut kerangka Perlembagaan, pengehadan tempoh jawatan merupakan satu mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden. Mekanisme ini membantu memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang,” katanya.
Anwar berkata pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak bertujuan melemahkan institusi eksekutif, tetapi untuk memperkukuh legitimasi, kepercayaan awam dan kestabilan sistem demokrasi negara dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata pindaan itu ialah satu pelaburan untuk generasi akan datang agar kepimpinan negara sentiasa berteraskan mandat rakyat dan prinsip akauntabiliti.
Selain itu, Anwar berkata menerusi pindaan itu, penetapan had tempoh jawatan boleh dilihat sebagai usaha mencegah kemungkaran dengan mengurangkan risiko penumpuan kuasa yang terlalu lama serta kemungkinan berlakunya rasuah atau salah guna amanah.
Beliau berkata pendekatan itu selari dengan tuntutan agama supaya kepimpinan sentiasa dipelihara dalam kerangka amanah, keadilan dan akauntabiliti agar kuasa yang diberi tidak melampaui batas yang ditegah syarak.
Dalam merangka cadangan pindaan itu, Perdana Menteri berkata kerajaan telah melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, wakil masyarakat serta pakar dalam bidang tadbir urus dan Perlembagaan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan pandangan semua lapisan masyarakat diambil kira secara menyeluruh dan kerajaan juga mempertimbangkan sokongan awam terhadap usaha memperkukuh akauntabiliti kepimpinan.
"Inilah ikhtiar kita untuk memastikan negara ini terus dipandu oleh Perlembagaan, dihormati rakyat dan diyakini generasi akan datang," kata beliau yang menyeru semua Ahli Parlimen tanpa mengira haluan politik untuk memberikan sokongan penuh terhadap rang undang-undang berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial