AM > BERITA

Kolam Penyu Di Tapak Pesta Pelita Raya Terengganu Diarah Tutup

02/03/2026 02:26 PM

KUALA TERENGGANU, 2 Mac (Bernama) -- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengarahkan agar kolam penyu di tapak Pesta Pelita Raya Terengganu 2026 di Gong Badak, Kuala Nerus ditutup petang semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata tindakan segera itu diambil setelah menerima aduan daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar melalui media sosial.

Beliau berkata perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan penyu merupakan haiwan dilindungi dan tidak boleh dibiarkan terdedah kepada cahaya terang seperti di tapak pesta.

"Tindakan drastik telah diambil oleh penganjur Pelita Raya Terengganu, iaitu JPNT dan saya dimaklumkan kolam penyu yang dikendalikan Pejabat Daerah dan Tanah Dungun itu telah dialihkan petang semalam.

“Saya harap perkara seperti ini tidak berulang pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Razali mengingatkan semua pemilik gerai di tapak program agar lebih sensitif dengan penganjuran sebarang aktiviti dalam usaha mereka menarik pengunjung.

Semalam tular di laman sosial apabila sebuah pavilion daerah di tapak Pesta Pelita Raya Terengganu menjadikan penyu sebagai tarikan orang ramai dengan meletakkannya di dalam kolam yang sempit.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan para pencinta haiwan dan pengguna media sosial kerana didakwa menyeksa hidupan marin berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan