KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM258.02 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membantu petani Orang Asli melalui penyediaan bekalan input pertanian, jentera kecil serta pembangunan infrastruktur ladang yang boleh dipohon.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata selain itu ia juga bertujuan meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan yang lebih mampan bagi komuniti berkenaan melalui bimbingan khidmat nasihat dan sokongan teknikal berterusan.
"Kesemua insentif dan bantuan dalam sektor agromakanan negara adalah bersifat inklusif serta terbuka kepada semua golongan yang layak, termasuk masyarakat Orang Asli.
"Kerajaan sentiasa komited memastikan setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat menyeluruh, selaras dengan agenda keterjaminan makanan negara dan peningkatan pendapatan pengusaha sektor agromakanan secara inklusif," katanya pada sesi soal lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Manolan Mohamad yang ingin tahu mengenai inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam memperkasa penglibatan masyarakat Orang Asli di sektor pertanian, penternakan dan perikanan sebagai sumber pendapatan yang mampan.
Dalam pada itu, Chan berkata kementerian sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan menerusi Program Pemodenan Pertanian Orang Asli, sebanyak 883 projek telah dilaksanakan sepanjang RMK12 membabitkan peruntukan RM42.62 juta yang memanfaatkan 15,623 penerima komuniti berkenaan.
Mengulas mengenai subsektor perikanan, Chan memaklumkan 353 nelayan Orang Asli telah menerima manfaat Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) melibatkan peruntukan RM1.16 juta pada 2025, termasuk 109 individu menerima Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND).
Selain itu, beliau berkata 273 vesel milik komuniti tersebut turut menikmati subsidi bahan api, manakala 228 vesel lagi menerima Insentif Hasil Tangkapan Ikan (IHTI) sebagai galakan meningkatkan lagi hasil tangkapan.
Bagi subsektor penternakan pula, Chan berkata pelbagai program seperti Skim Rezeki Ternak Ruminan, Program Penggandaan 30 bagi penternak lembu pedaging serta program Pengukuhan Industri Tenusu Negara disediakan bagi membantu transformasi usahawan ternak ke arah komersial melalui bantuan geran padanan dan bekalan input makanan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial