AM > BERITA

Peniaga Bazar Ramadan Diingatkan Tidak Kaut Keuntungan Berlebihan

02/03/2026 09:34 PM

SEREMBAN, 2 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan menasihatkan peniaga makanan di bazar Ramadan supaya tidak mengaut keuntungan berlebihan atau mengenakan harga terlalu mahal hingga membebankan pengguna.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri Faizah Othman berkata walaupun pihaknya tidak mengawal harga barangan makanan secara langsung kerana bukan di bawah harga kawalan tetapi tetap komited dalam memastikan pengguna menikmati harga berpatutan.

"Kita akan melakukan pemantauan secara berterusan, terutamanya di semua bazar Ramadan dan premis jualan bagi memastikan harga barangan mematuhi keperluan serta perundangan ditetapkan, sekali gus mengelakkan sebarang elemen pencatutan.

“Jika ada aduan peniaga mengenakan harga terlalu mahal, notis akan dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat awal sebelum pemeriksaan dan analisis lanjut dijalankan, termasuk menilai kapasiti keuntungan yang diperoleh bagi menentukan sama ada berlaku pencatutan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Operasi Pantau KPDN di Bazar Ramadan Seremban 2 hari ini.

Beliau berkata penentuan pencatutan dibuat berdasarkan formula khusus dan perbuatan mengambil keuntungan tidak munasabah adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam pada itu, Faizah berkata pihaknya telah melaksanakan Op Pantau bermula 19 Feb hingga semalam, dengan 345 premis diperiksa dan daripada jumlah itu 14 premis didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melibatkan kompaun berjumlah RM1,400.

"Antara kesalahan dikesan adalah tidak meletakkan tanda harga, menjual barangan harga kawalan melebihi harga maksimum, memiliki barangan tanpa lesen dan mengunakan atau memiliki alat timbang/sukat yang tidak ditentusahkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan