KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menerima agihan zakat wakalah berjumlah RM36,737 daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk membantu petugas yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata sumbangan itu akan diagihkan kepada petugas dan ahli keluarga mereka yang layak bagi meringankan beban kewangan selain sebagai persediaan menyambut Aidilfitri.
Beliau berkata sebanyak 67 penerima akan menerima manfaat zakat itu, yang disalurkan berdasarkan permohonan bagi tujuan kebajikan, pendidikan, dan perubatan.
Replika cek zakat berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP Ahmad Talmizi Yahaya kepada Nur-ul Afida pada Majlis Iftar Bernama 2026 di Wisma Bernama, di sini.
Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson serta ketua-ketua jabatan.
Pada majlis itu, Nur-ul Afida turut menyampaikan sumbangan kepada Surau As-Syafie untuk melaksanakan program mengimarahkan Ramadan.
Beliau berkata majlis berbuka puasa itu bukan sahaja menyemarakkan Ramadan, malah mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga Bernama.
Hadirin turut mengikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam MAIWP Abdul Fattah Abdul Rahman.
Nur-ul Afida berkata pada Ramadan ini, Bernama akan menganjurkan beberapa program tanggungjawab sosial korporat, termasuk penyampaian sumbangan kepada petugas Hospital Kuala Lumpur pada Rabu, serta penganjuran program Sepatu Raya untuk anak-anak yatim dan anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di bawah Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita).
“Kita akan terus melaksanakan program yang dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai anggota masyarakat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial