AM > BERITA

90 Peratus Tiket Bas Ke Pantai Timur Habis Terjual

03/03/2026 03:28 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 3 Mac ( Bernama) -- Tiket bas ekspres dari Seremban ke destinasi utama Pantai Timur habis terjual sehingga 90 peratus sejak dua hari lepas, sempena perayaan Aidilfitri tahun ini.

Tinjauan Bernama di Terminal Satu di sini mendapati tiket ke destinasi Kuala Terenganu dan Kota Bharu, Kelantan habis dibeli, hanya tiket perjalanan ke arah utara sahaja masih banyak belum terjual.

Pengurus Fasiliti Terminal Satu Zulkifli Rahman berkata walaupun sebahagian tiket habis dijual, masih terdapat beberapa syarikat yang belum membuka tempahan bagi perjalanan sempena perayaan ini.

"Di sini kita ada lebih kurang 65 syarikat bas ekpres yang aktif, mungkin seminggu sebelum raya biasanya akan ada pertambahan tiket lain. Kebiasaannya ada juga syarikat akan buat bas tambahan bagi perjalanan ke Pantai Timur, tetapi itu bergantung kepada permintaan," katanya kepada Bernama di sini.

Zulkifli berkata tahun ini berlaku kenaikan harga tiket bas sebanyak 10 peratus ke semua destinasi perjalanan seperti ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau berkata harga tiket bagi destinasi Seremban-Kota Bahru antara RM60 hingga RM97, manakala bagi ke Seremban-Kuala Terenganu antara RM70 hingga RM78, mengikut pilihan bas ditempah.

“Walaupun harga tiket meningkat, permintaan dalam kalangan anak perantauan untuk pulang beraya tetap tinggi. Orang ramai juga digalakkan membeli tiket secara dalam talian melalui laman sesawang Terminal Satu Seremban tanpa menggunakan orang tengah,” katanya.

Beliau berkata sejak dua tahun lepas, pihaknya hanya mengendalikan pembelian tiket berpusat secara dalam talian atau pembelian di kios layan diri yang tersedia di terminal ini. 

Sementara itu, pelajar kolej Norfatin Ismail, 28, berkata dia membeli tiket untuk pulang beraya ke Kelantan pada pertengahan bulan lepas secara dalam talian.

"Saya beli tiket bas balik raya ke Pengkalan Chepa awal sebab takut habis. Beli secara dalam talian sahaja dapat harga lebih murah iaitu antara RM65 (pergi) hingga RM55 (balik),"katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan