AM > BERITA

SPNB Bina 680 Unit Rumah Mesra Rakyat Di Terengganu Tahun Ini

03/03/2026 01:55 PM

KUALA NERUS, 3 Mac (Bernama) -- Sebanyak 680 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina di Terengganu oleh Syarikat Perumahan Rumah Negara Berhad (SPNB) pada tahun ini.

Pengerusi SPNB Datuk Prof Dr Azmi Mohd Lila berkata setakat ini, 104 unit rumah sedang giat disiapkan iaitu di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Beliau berkata sejak 2002, Terengganu telah menerima kira-kira 10,600 RMR iaitu kedua tertinggi selepas Kelantan yang melebihi 11,000 unit.

"SPNB melalui Bajet 2026 akan membina 6,545 unit RMR di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM500 juta. Terengganu menjadi antara penerima tertinggi iaitu 680 unit RMR di lapan daerah.

"Sejak 2002, SPNB telah menjadi tonggak utama perumahan mampu milik negara dengan lebih 76,000 unit RMR berjaya dibina di seluruh negara," katanya pada Majlis Serah Surat Tawaran RMR 2026 kepada 240 pemohon di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

Bagaimanapun, Azmi berkata Terengganu juga merekodkan jumlah tunggakan bayaran pinjaman paling tinggi iaitu RM7.5 juta setakat tahun lepas.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan pemilik rumah agar menyelesaikan tunggakan berkenaan bagi manfaat pemohon perumahan RMR yang lain.

"Saya nak ingatkan bahawa bayaran bulanan adalah menjadi tanggungjawab penerima selepas mendapat kunci rumah. Penting untuk masing-masing menjelaskan bayaran bagi memberi peluang kepada pemohon yang sedang menunggu agar dapat merasai manfaat yang sama.

"Kerajaan telah memberi subsidi RM20,000 untuk setiap rumah. Baki harga rumah berjumlah RM55,000 yang dibiayai melalui pinjaman tanpa faedah boleh dijelaskan dalam tempoh 16 tahun," katanya.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan