KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) sedang giat menjalankan kerja-kerja baik pulih bekalan kuasa di transit aliran masa (MRT) laluan Putrajaya susulan kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Damansara Damai yang dikesan awal pagi tadi.
Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan dijangka pulih secara berperingkat dalam tempoh tiga hari.
“Kejadian tersebut telah menyebabkan gangguan perkhidmatan dan memerlukan kerja pembaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kembali beroperasi dengan selamat serta stabil,” menurut kenyataan itu.
Rapid Rail memaklumkan sepanjang tempoh berkenaan, tren alternatif serta bas perantara ulang-alik percuma disediakan bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.
“Penumpang juga disaran menggunakan laluan rel alternatif. Rapid Rail memohon kerjasama pengguna agar mematuhi arahan petugas di stesen bagi memastikan kelancaran pergerakan serta keselamatan.
“Maklumat terkini mengenai status operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial