AM > BERITA

UDA Peruntuk Lebih RM2 Juta Perkasa Usahawan Tempatan

03/03/2026 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) --UDA Holdings Berhad (UDA), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), memperuntukkan lebih daripada RM2 juta tahun ini bagi menyokong pemerkasaan usahawan tempatan.

Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA Mohd Nazri Jamiran berkata inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 625 usahawan, sejajar dengan strategi KUSKOP di bawah Teras D iaitu Perluasan Akses Pasaran dan Adaptasi Teknologi.

Beliau berkata pendekatan itu dirangka secara holistik, berstruktur, dan berfasa bagi memastikan usahawan memperoleh akses pasaran lebih luas serta pertumbuhan perniagaan mampan.

“Pelaksanaan inisiatif ini selaras aspirasi KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan serta menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemerkasaan usahawan itu akan dilaksanakan menerusi program utama, termasuk Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre (MARi Mart), UDA Craft Corner (KIRANA), dan Malaysia Entrepreneur Hub (MEH).

Mohd Nazri menjelaskan tumpuan tahun ini akan diberikan kepada peluasan akses pasaran, pengukuhan rantaian bekalan, serta pemantauan prestasi berasaskan data bagi memastikan setiap intervensi memberi impak kepada pertumbuhan perniagaan.

Katanya PIUU menyasarkan 500 usahawan melalui insentif sewaan lot kedai dan tapak sementara di premis-premis UDA bagi menyokong kemasukan serta kesinambungan operasi perniagaan mereka.

Menerusi platform MARi Mart, UDA menyasarkan 75 vendor baharu dalam kalangan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana, dengan tumpuan kepada fasilitasi vendor, penambahbaikan asas produk, serta pengukuhan penjenamaan.

KIRANA, yang berteraskan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI), menyediakan ruang pameran strategik kepada 25 usahawan kraf tangan tempatan, manakala MEH menawarkan ruang niaga di lokasi strategik seperti Morten Walk, Kuala Lumpur Heritage Valley, dan Santai Camp di Angsana Johor Bahru Mall.

“Inisiatif ini berperanan sebagai platform peralihan sebelum usahawan berpotensi dipertimbangkan untuk penyewaan premis secara tetap di kompleks beli-belah UDA,” katanya.

Beliau berkata mulai tahun ini, pendekatan berfasa UDA merangkumi pendedahan, pemantapan, dan pengukuhan, selain menekankan penjenamaan, pematuhan asas perniagaan dan akses kepada platform jualan digital bagi memperkukuh daya saing usahawan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan