AM > BERITA

Peranan Perhebat Diperkukuh Sebagai Hab Latihan TVET Bekas ATM - Ahmad Zahid

05/03/2026 03:19 PM

PUTRAJAYA, 5 Mac (Bernama) -- Peranan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) akan diperkukuh sebagai pusat latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bakal bersara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu merupakan antara keputusan strategik yang dicapai dalam mesyuarat Majlis TVET Negara hari ini bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh ekosistem TVET negara.

"Sebagai projek rintis, seramai 100 individu akan diserap ke dalam sektor logistik melalui kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dengan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji sehingga RM5,000," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata inisiatif lain termasuk pelaksanaan Program Digital Freelancing TVET dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi membolehkan graduan TVET menjana pendapatan melalui ekonomi gig digital di peringkat global.

Beliau berkata kerajaan turut melaksanakan Program Rintis TVETPreneurs dengan kerjasama Management and Science University (MSU) bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan graduan TVET melalui latihan serta bimbingan industri.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut bersetuju memperluas Program FEN PROAKTIF 2.0 oleh Financial Education Network (FEN) bagi meningkatkan tahap literasi kewangan dalam kalangan pelajar TVET.

Beliau berkata TVET pertanian turut dijadikan keutamaan baharu bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam sektor agromakanan selain meningkatkan produktiviti dan inovasi dalam industri pertanian negara.

"Selain itu, bagi mengiktiraf potensi pelajar tahfiz, mesyuarat turut bersetuju bahawa pelajar tahfiz yang telah melengkapkan hafazan serta memiliki kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara dengan program diploma," katanya.

Ahmad Zahid berkata langkah itu membuka laluan baharu kepada lepasan tahfiz untuk menyertai bidang kemahiran profesional serta memperluaskan peluang kerjaya mereka dalam pelbagai sektor industri.

Beliau berkata Sambutan Hari TVET Negara 2026 akan diadakan pada 5 hingga 7 Jun di Dataran Putrajaya.

Beliau berkata program itu akan menghimpunkan institusi TVET, pemain industri serta komuniti bagi mempamerkan peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang kemahiran, di samping memperkukuh kerjasama industri dan antarabangsa dalam ekosistem TVET negara.

Ahmad Zahid memaklumkan mesyuarat turut menetapkan sasaran baharu iaitu 70 peratus penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata kadar penyertaan dalam bidang TVET telah mencapai 53.9 peratus sehingga Disember 2025, sekali gus menunjukkan perkembangan positif ke arah mencapai sasaran tersebut.

"Penetapan sasaran ini juga selaras dengan hala tuju baharu pembangunan negara yang semakin menjadikan kemahiran dan teknologi sebagai teras pertumbuhan ekonomi," katanya.

Secara keseluruhan, Ahmad Zahid berkata TVET akan terus menjadi laluan utama dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang berdaya saing serta mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan