AM > BERITA

ITC, AMSPA Bekerjasama Perkenal Garis Panduan, Program Latihan Spa Mesra Muslim

05/03/2026 03:52 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meluaskan penerajuan Malaysia dalam ekosistem halal global dalam sektor spa dan kesihatan.

Majlis menandatangani perjanjian MoU itu diadakan semalam di International Tourismus-Börse Berlin (ITB) di Berlin, Jerman.

ITC dalam satu kenyataan memaklumkan menerusi kerjasama itu pusat tersebut akan memperkenalkan garis panduan dan program latihan spa mesra muslim yang berstruktur kepada 100 ahli AMSPA melalui modul latihan khusus, program pembinaan kapasiti dan rangka kerja pengiktirafan secara formal.

“Inisiatif oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing ini bertujuan untuk memperkenalkan tawaran perkhidmatan spa asli Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara ini  sempena kempen Melawat Malaysia 2026.

"Ia juga menandakan hasrat Malaysia untuk memperkukuh piawaian dalam segmen rawatan kesihatan halal di samping meletakkan negara sebagai destinasi utama bagi pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang," menurut kenyataan itu.

MOU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah ITC Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden AMSPA Selinastein Mohd Rashid dan disaksikan oleh Tiong.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Jerman Mohamad Razdan Jamil dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Selain itu, ITC juga merumuskan garis panduan rawatan spa bersama AMSPA dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang ditanda araskan dengan Standard Spa Halal Metrology Institute for the Islamic Countries (SMIIC) yang diguna pakai di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Ia merupakan antara tawaran utama ITC di bawah program jaminan dan pengiktirafan pelancongan dan hospitaliti mesra muslim (MFAR), yang turut merangkumi garis panduan untuk premis penginapan pelancong  dan perniagaan pengendalian pelancongan mesra Muslim.

"Industri spa merupakan komponen yang semakin penting dalam ekonomi halal yang semakin meluas merangkumi kewangan Islam, makanan dan minuman halal, fesyen sederhana, farmaseutikal, kosmetik, media, rekreasi dan pelancongan," katanya.

Menerusi pengenalan garis panduan dan latihan berstruktur yang disesuaikan khusus untuk pengendali spa, ITC menyasar menyediakan hala tuju yang jelas kepada industri tentang penyampaian perkhidmatan, pertimbangan operasi, piawaian privasi dan keselesaan pelanggan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Mohammad Faisal berkata kerjasama itu menandakan satu kejayaan penting dalam memperkukuh ekosistem halal Malaysia menerusi pelancongan.

“Perkhidmatan spa adalah sebahagian daripada keseluruhan pengalaman pelancongan. Dengan membangunkan garis panduan praktikal dan program latihan, kita bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan tetapi juga membina keyakinan industri untuk menyediakan perkhidmatan kepada pasaran Muslim secara berstruktur dan profesional,” katanya.

Beliau juga berkata pelancongan memainkan peranan unik dalam ekonomi halal sebagai penyepadu pelbagai sektor, sambil menambah apabila pelancong melawat mana-mana destinasi, pengunjung akan mencari penginapan, runcit, perkhidmatan makanan, perkhidmatan kewangan dan perkhidmatan rawatan kesihatan, justeru komponen ini dapat memantapkan lagi pengalaman pelancongan.

“Kami melihat ramai yang berminat di peringkat global untuk menawarkan perkhidmatan kepada pasaran pelancongan Muslim, tetapi tidak pasti di mana hendak bermula. Program latihan dan pengiktirafan ITC menyediakan rangka kerja yang boleh disesuaikan. Kami melihat ini sebagai langkah positif ke arah meningkatkan piawaian dan kepercayaan global,” katanya.

Sementara itu, Selinastein menyambut baik kerjasama itu dan menyifatkannya sebagai tepat pada masanya dan berpandangan ke hadapan, serta memuji ITC kerana memajukan ekosistem spa mesra Muslim.

Beliau berkata pencapaian penting ini mencerminkan komitmen kukuh Malaysia untuk meletakkan industri kecergasan sebagai inklusif, dipercayai dan berdaya saing di peringkat global.

-- BERNAMA


 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan