AM > BERITA

UDA Rai Anak Yatim Dan Asnaf Beli Pakaian Raya, Sumbang Zakat Wakalah RM30,000

05/03/2026 05:08 PM

JOHOR BAHRU, 5 Mac (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset serta agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meraikan hampir 100 anak yatim serta asnaf menerusi Program CSR Sinar Ramadan UDA 2026 di Angsana Johor Bahru Mall di sini hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan UDA Radziah Mohamed Fadzil berkata kesemua mereka ialah penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh Johor, dibawa membeli-belah pakaian serta kelengkapan Aidilfitri bernilai RM350 seorang bagi memeriahkan sambutan Syawal yang bakal tiba.

Beliau berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan menerusi anak syarikat UDA, iaitu UDA Angsana Sdn Bhd bersama UDA Land (South) Sdn Bhd merupakan aktiviti tahunan sejak 2021.

“Hampir RM30,000 zakat wakalah disalurkan bagi pembelian pakaian dan kelengkapan baharu kepada 85 penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh yang berusia antara 12 bulan hingga 28 tahun.

“Sumbangan ini diharap dapat memberikan keceriaan kepada anak-anak agar turut sama menikmati kemeriahan Syawal selain menjadi inspirasi kepada UDA untuk terus berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan,” katanya.

Program CSR Sinar Ramadan UDA 2026 turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall Imran Salleh, Pemangku Ketua Pegawai Operasi UDA Land (South) Sdn Bhd Norazim Shukor serta barisan pengurusan dan petugas UDA yang turut menyantuni anak-anak tersebut.

Radziah berkata selain membeli-belah, penerima juga diraikan dengan jamuan berbuka puasa serta menerima kuih raya sebagai tanda ingatan.

Beliau berkata program itu dilaksanakan selari dengan aspirasi ‘Memenuhi Impian’ UDA tahun ini selain memperkukuh agenda CSR menerusi platform UDA Prihatin.

“Sumbangan zakat wakalah dilaksanakan menerusi satu daripada tonggak utama UDA Prihatin iaitu Memperkasa Kehidupan yang memberi tumpuan kepada sokongan komuniti memerlukan di sekitar wilayah pembangunan perniagaan UDA.

“Selain itu, tiga lagi tonggak program UDA Prihatin ialah Pendidikan, Usahawan serta Projek Penambahbaikan yang memberi fokus kepada pemerkasaan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nur Damia Adriana Abdullah, 15, yang menerima sumbangan sejak beberapa tahun lepas berkata teruja serta gembira kerana UDA sentiasa menyantuni dirinya dan rakan setiap kali Aidilfitri.

“Tahun ini saya hendak membeli baju kurung dan tudung biru gelap. Saya suka (membeli di sini) kerana pakaian di Angsana memang cantik. Terima kasih UDA Holdings,” katanya pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini.

Senada ialah Muhammad Ibrahimusa, 17, yang turut bersyukur kerana masih berpeluang membeli kelengkapan raya bersama-sama UDA Holdings.

“Saya dan adik rasa sangat gembira kerana dapat beli baju Melayu dan songkok selain mahu melihat apa lagi yang menarik (perhatian),” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan