AM > BERITA

Perhilitan Selamatkan Beruang Matahari Di Gua Musang

05/03/2026 09:52 PM

GUA MUSANG, 5 Mac (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan hari ini menyelamat dan memindahkan seekor beruang matahari sekali gus menamatkan kebimbangan penduduk di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Limau Kasturi 2 di sini.

Pengarahnya Wan Mohd Adib Wan Yusoh berkata tujuh anggota digerakkan bagi menjalankan operasi pemindahan selepas menerima maklumat awam pada 9 pagi mengenai beruang matahari dewasa itu telah memasuki perangkap.

“Pemeriksaan mendapati hidupan liar itu sihat serta tidak agresif. Setelah memastikan keadaan haiwan itu stabil, beruang tersebut dilepaskan di habitat lebih sesuai di kawasan Taman Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Adib berkata tindakan translokasi itu bagi memastikan keselamatan penduduk setempat  terjamin dan memelihara kebajikan hidupan liar tersebut.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak menghampiri atau cuba menangkap hidupan liar jika terserempak, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, penduduk Mohd Rozaidi Hassan, 34, berkata beruang itu dikesan memasuki perangkap dipasang Perhilitan yang menggunakan umpan minyak masak terpakai di sebelah rumahnya pada 2.30 pagi.

“Saya sangat lega kerana amat bimbang dengan keselamatan anak yang masih kecil apatah lagi beruang itu membuat sarang di atas pokok manggis di belakang rumah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan