AM > BERITA

Salah Guna Pas Lawatan, Lebih 15,000 Warga Asing Ditahan Sejak 2023 - Saifuddin Nasution

05/03/2026 10:49 PM

MELAKA, 5 Mac (Bernama) -- Sebanyak 15,349 warga asing ditahan sejak 2023 hingga 3 Mac lepas atas kesalahan menyalah guna pas lawatan dengan bekerja atau menjalankan perniagaan di Malaysia.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia membabitkan penahanan 2,233 warga asing pada 2023, 2024 (5,123 orang), 2025 (6,872 orang) dan 1,121 orang setakat 3 Mac 2026.

Beliau berkata lima warganegara tertinggi yang ditahan atas kesalahan itu ialah Bangladesh, Thailand, Indonesia, China dan Pakistan.

“Oleh kerana trend ini meningkat maka ia mengundang rungutan terutamanya oleh dewan perniagaan, dan perkara ini telah dibincangkan serta mendapat perhatian Jemaah Menteri... justeru, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah diarah untuk meningkatkan penguatkuasaan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Iftar JIM bersama Menteri Dalam Negeri yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar di Dewan Serbaguna, Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh malam ini.

Beliau juga berkata 68 warga asing dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Kemboja, Thailand dan Yaman ditahan dalam operasi di bazar Ramadan seluruh negeri bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen.

Mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan berada di Malaysia tanpa pas atau dokumen perjalanan yang sah (41 orang), tinggal lebih masa (13 orang), melanggar syarat pas (lapan orang) dan lain-lain (enam orang).

“JIM akan terus mempergiat tindakan pemeriksaan sepanjang Ramadan ini bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen sentiasa terpelihara,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri turut menjangkakan peningkatan penyertaan warga asing dalam Program Repatriasi Migran 2.0 yang akan berakhir pada 30 April depan.

Beliau berkata bagi tempoh 19 Mei 2025 hingga 3 Mac lepas, pihaknya merekodkan pendaftaran warga asing sebanyak 187,858 orang membabitkan 106 negara di bawah program itu dengan kutipan hasil kepada negara sebanyak RM93,973,360.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan