AM > BERITA

Kerajaan Terus Lindungi, Iktiraf Peranan Wanita - Fadillah

08/03/2026 12:27 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan terus berusaha memberikan bantuan, perlindungan, sokongan dan mewujudkan ruang selamat kepada golongan wanita di negara ini. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata wanita adalah tonggak utama negara sekalipun mereka hanya bekerja dan menyumbang di belakang tabir.

“Peranan dan pencapaian wanita wajar sentiasa diiktiraf dan dihargai, kerana inilah langkah pertama untuk kita meruntuhkan stereotaip terhadap kedudukan wanita dalam masyarakat.

“Sempena Hari Wanita ini, marilah kita bersama-sama terus menghargai dan memartabatkan peranan wanita sebagai rakan penting dalam membentuk masa depan negara. Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara. Selamat Hari Wanita,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata di Malaysia, wanita terus memainkan peranan besar dalam keluarga, pendidikan, ekonomi dan juga kepimpinan masyarakat.

Fadillah berkata meskipun ramai wanita kini menjadi pendidik generasi dan pemangkin perubahan sosial, namun usaha untuk memperkukuh kesejahteraan, keselamatan serta peluang yang adil kepada golongan itu perlu terus dipergiat bagi mendepani cabaran semasa.

Beliau berkata Hari Wanita bukan sekadar sambutan, sebaliknya merupakan satu penghargaan terhadap pengorbanan besar golongan itu bukan sahaja dalam institusi keluarga, malah kepada masyarakat dan negara serta di peringkat antarabangsa.

“Dalam kita meraikan golongan wanita, kita juga wajar menyedari realiti yang masih dihadapi oleh ramai wanita di seluruh dunia. Jurang dalam aspek sosial, ekonomi dan politik masih wujud dan memerlukan perhatian bersama. Selain itu, isu keganasan dan konflik turut memberi kesan yang besar kepada wanita dan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengucapkan  Selamat Hari Wanita Antarabangsa kepada semua wanita hebat di Malaysia.

“Terus melangkah dengan keyakinan dan menjadi inspirasi kepada generasi masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan