AM > BERITA

Permaisuri Selangor Berkenan Santuni Peniaga Bazar Ramadan Stadium Shah Alam

08/03/2026 09:11 PM

SHAH ALAM, 8 Mac (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Program Santuni Bazar Ramadhan 2026 di Bazar Ramadan Stadium Shah Alam Seksyen 13 di sini hari ini.

Ketibaan Tengku Permasuri Norashikin disambut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) Datin Seri Masdiana Muhamad serta Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zabidah Safar.

Baginda turut berkenan melawat reruai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta menerima kit sempena Kempen Internet Selamat selain menyantuni usahawan di bawah Platform Selangor (PLATS) di bazar berkenaan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor Datuk Saipolyazan M Yusop berkata pada tahun ini sebanyak RM90,000 diperuntukkan menerusi inisiatif PLATS Belanja iaitu agihan kupon digital bernilai RM10 kepada pengunjung di 26 Bazar Ramadan terpilih di Selangor.

Beliau berkata peruntukan itu dijangka dapat meningkatkan trafik pengunjung, sekali gus membantu menambah hasil jualan peniaga di lokasi terbabit.

“Melalui PLATS Belanja, MBI Selangor komited memastikan peniaga kecil terus menerima sokongan yang relevan, termasuk akses kepada platform digital yang boleh meningkatkan kecekapan dan pendapatan mereka. 

“Kami percaya inisiatif ini bukan sahaja memudahkan pengunjung tetapi turut membantu mempercepatkan peralihan ke arah ekosistem pembayaran tanpa tunai yang lebih moden dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan