AM > BERITA

PM Anwar Arah JPA Sedia Laluan Kenaikan Pangkat Kepada Penjawat Awam Gred 1

09/03/2026 10:27 AM

PUTRAJAYA, 9 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyediakan laluan kenaikan pangkat bagi penjawat awam Gred 1 merangkumi kategori pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata laluan khusus membabitkan 125,000 penjawat awam itu bertujuan membolehkan penjawat awam Gred 1 dinaikkan ke Gred 5 dengan syarat-syarat khas yang ditetapkan.

Beliau berkata langkah berkenaan perlu dilaksana bagi membolehkan penjawat awam gred rendah mempunyai peluang kemajuan kerjaya di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Walaupun ada kenaikan ikut SSPA tetapi ada keperluan agar kategori yang paling rendah ini dapat ditingkatkan sedikit.

“Jadi bagi menambah baik peluang laluan kerja, saya telah minta JPA untuk sediakan laluan kenaikan gred daripada Gred 1 naik ke Gred 5,” kata beliau ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. 

Anwar berkata penjawat awam berkenaan perlu melalui beberapa ketetapan termasuk kehadiran kursus tertentu yang dikhaskan sebelum diberikan laluan kenaikan gred.

“Syaratnya (termasuk) tempoh perkhidmatan kelayakan dan kita bagi kursus khas yang sesuai dalam sekitar tiga atau dua minggu. 

“Itu JPA sedang uruskan. Syarat itu supaya kita nak pastikan dia (penjawat awam) ikuti perkembangan (semasa) dan pendedahan tentang teknologi maklumat (IT),” kata beliau.

Perdana Menteri berkata proses kenaikan pangkat bagi kesemua penjawat awam ini perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada 1 Januari, 2027.

“KSN Shamsul Azri maklumkan kita boleh selesaikan kursus bagi 125,000 (penjawat awam) ini supaya kita dapat laksanakan kenaikan pangkat selewat-lewatnya 1 Januari tahun depan,” kata beliau.

Sementara itu, Shamsul Azri ketika ditemui media berkata laluan kenaikan pangkat ini adalah antara penambahbaikan yang dilaksanakan dibawah SSPA.

“Syarat utama (kenaikan pangkat) adalah kena jalani kursus. JPA akan tentukan dan kita akan mulakan Januari 2027,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan