AM > BERITA

Tujuh Beradik Di Teluk Intan Terima Sijil Kelahiran

09/03/2026 04:51 PM

IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Tujuh beradik berusia 13 hingga 22 tahun di Sungai Jejawi, Kampung Sungai Timah di Teluk Intan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri menerima sijil kelahiran masing-masing menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak.

JPN Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua sijil kelahiran berkenaan diserahkan oleh Pengarah JPN Negeri Robatuladayiah Mohd Isa di kediaman mereka hari ini.

"JPN telah melaksanakan siasatan berhubung ketiadaan dokumen pengenalan diri tujuh beradik di pejabat JPN Daerah Kecil Kampung Gajah dan mendapati antara faktor utama kelewatan pendaftaran kelahiran adalah kekangan berkaitan pengesahan perkahwinan ibu bapa," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan MEKAR JPN merupakan program turun padang dengan urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri seperti MyKad dan sijil kelahiran kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas, pesakit terlantar dan mereka yang tinggal di pedalaman.

"Usaha proaktif JPN ini bagi memastikan setiap penduduk di negara ini yang layak dikeluarkan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan yang ditawarkan kerajaan.

"Selain itu, pendekatan ambil peduli JPN ini selaras dengan elemen ihsan dalam konsep Malaysia MADANI," menurut kenyataan itu.

Sebanyak 378 program MEKAR telah dijalankan di negeri ini sepanjang tahun lepas yang menyaksikan 1,526 permohonan diterima di samping 1,935 khidmat nasihat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan