CHUKAI, 9 Mac (Bernama) -- Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat ke Majlis Kurniaan Hari Raya Aidilfitri Daerah Kemaman dan Dungun di Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 300 orang dalam kalangan asnaf dan pelajar menerima sumbangan wang tunai dan pakaian hari raya.
Turut berangkat Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mua'az serta diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Sementara itu, kesedihan seorang pelajar yang kematian bapa kira-kira sebulan lepas terubat apabila menerima sumbangan itu daripada Tengku Muhammad Ismail.
Nur Airis Insyirah Mohd Hazmi, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, Dungun berkata dia belum membuat persiapan rapi bagi menyambut hari lebaran memandangkan bapanya Mohd Hazmi Yusof, 42, baru meninggal dunia pada 3 Feb lepas.
Anak sulung daripada lima beradik itu teruja dan terharu apabila menerima sumbangan yang akan dikongsi bersama adik-adiknya.
“Alhamdulillah saya dipilih menerima sumbangan berkenaan dan ia dapat meringankan beban ibu saya Norasikim Ibrahim, 42, membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.
“Sebelum ini, arwah ayah saya yang bekerja di sebuah syarikat minyak dan gas serta ibu sering membawa saya bersama adik-adik membeli pakaian raya lebih awal untuk mengelakkan kesesakan pada saat-saat akhir,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Nur Airis Insyirah berkata empat adiknya, Nur Inara Nasyarah, 12, Muhammad Harraz Uwais, 10, Muhammad Aatuf Billhaq, 7, dan Hud Gibran, 2 bulan juga masih lagi belum lengkap membeli pakaian raya.
Sementara itu, seorang ibu tunggal Sabariah Sulong, 40, yang tinggal di Pulau Serai, Dungun berkata sumbangan itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan hari raya termasuk pakaian baharu enam anaknya yang berusia lima hingga 21 tahun.
“Suami saya meninggal dua bulan lepas akibat kanser hati. Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menyara anak-anak selepas kehilangan suami.
“Persiapan hari raya kami buat secara ala kadar dan beraya dalam keadaan sederhana kerana masih terkejut dengan pemergian ketua keluarga,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial