AM > BERITA

Anggota PBS Terjatuh Dalam Tasik Di Lahat Mines Ditemukan Lemas

10/03/2026 12:22 AM

IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Seorang anggota  Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Lombong Lahat Mines dekat Pasir Puteh malam semalam, ditemukan malam ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa Ka-Jun Cheng Siew, 25, yang merupakan ahli PBS Menglembu, ditemukan pada  10.18 malam oleh pasukan bomba ketika menjalankan pencarian di permukaan tasik.

“Mayat mangsa terapung dengan jarak lebih kurang 70 meter dari tebing berhampiran lokasi dipercayai tenggelam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sebelum itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah diteruskan hari ini oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) ytang menjalankan lima siri selaman melibatkan 17 kali selaman keseluruhan.

Semalam, JBPM Perak menerima maklumat mengenai kejadian pada 7.27 malam sebelum sebuah sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh dan Ipoh bergegas ke lokasi dengan bantuan PBS Menglembu, Pekan Baru dan Pasir Pinji.

Mangsa dilaporkan bersama pasukannya sedang menjalankan aktiviti latihan serta pengujian bot di tasik berkenaan sejak 4 petang, melibatkan 16 anggota PBS menggunakan tiga bot.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon ketika tinjauan hari ini memaklumkan pada peringkat awal latihan, mangsa memakai peranti pengapungan peribadi (PFD). Namun, kira-kira 7.10 malam ketika latihan hampir selesai, mangsa kembali menaiki bot tanpa memakai PFD.

Beliau berkata mangsa telah menaiki bot bersama seorang pemandu sebelum kedua-duanya dipercayai terjatuh ke dalam tasik ketika pemandu bot membuat pusingan U di tengah tasik.

Katanya pemandu bot cuba menyelamatkan mangsa tetapi turut terjatuh ke dalam tasik dan berjaya diselamatkan oleh rakan PBS yang lain, manakala mangsa dipercayai tenggelam.

-- BERNAMA

 

 

 
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan