AM > BERITA

Belia Aset Penting Kekal Keharmonian Negara - Dr Mohammed Taufiq

10/03/2026 08:49 AM

ALOR SETAR, 10 Mac (Bernama) -- Golongan belia merupakan aset penting dalam mengekalkan keharmonian negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum, budaya dan agama, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata golongan muda perlu memainkan peranan sebagai jambatan menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini, sekali gus menjadi ejen perpaduan yang menyatukan rakyat.

“Malaysia adalah negara sangat majmuk dengan pelbagai kaum dan agama, jadi kita perlu saling menghormati antara satu sama lain dan anak muda sebenarnya adalah aset untuk mengekalkan keharmonian dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Kedah serta Iftar Jamaie di Masjid Al Arifin Kompleks Pendidikan Al Hikmah dekat sini, malam tadi.

Dr Mohammed Taufiq berkata golongan belia juga harus meningkatkan pengetahuan termasuk menguasai ilmu dunia dan akhirat bagi melahirkan generasi pemimpin masa depan berkualiti dengan sahsiah dan jati diri yang kukuh.

"Program Rakan Masjid ini misalnya, bertujuan mengimarahkan masjid sebagai institusi yang mampu melahirkan pemimpin masa depan berkualiti, bukan sahaja dari segi kepimpinan tetapi juga sahsiah, jati diri serta ilmu dunia dan akhirat," katanya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah kesinambungan daripada pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Feb lepas, di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur yang kini diperluas ke peringkat negeri, parlimen, daerah serta kampung.

Beliau berkata program di peringkat negeri ini menghimpunkan kira-kira 600 hingga 700 anak muda dari pelbagai daerah, melibatkan aktiviti seperti pertandingan menulis khat, azan dan hafazan serta sesi tausiah.

Dr Mohammed Taufiq berkata kementeriannya akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memastikan program seumpama itu dapat diteruskan sepanjang tahun dan tidak hanya khusus pada Ramadan.

"Pelaksanaan program ini tidak bersifat sekali sahaja, sebaliknya ia akan diteruskan dengan pelbagai program susulan termasuk latihan kepimpinan serta aktiviti sukan.

“Kita juga sediakan pelbagai geran untuk dinikmati oleh jawatankuasa belia... Kita akan salurkan supaya bukan saja program kepimpinan, malah program sukan di peringkat akar umbi khususnya (peringkat) masjid dapat dilaksanakan sepanjang tahun,” katanya.

Katanya pihaknya turut merancang untuk bekerjasama dengan rumah-rumah ibadat lain untuk membentuk jawatankuasa belia bukan Islam bagi memperluas program kepimpinan secara inklusif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan