BATU GAJAH, 10 Mac (Bernama) -- Di sebalik tembok tinggi dan pintu besi sentiasa berkunci, seorang wanita hanya mahu dikenali sebagai Nora menemukan sinar baharu selepas terjerumus dalam kancah dadah yang hampir meranapkan masa depannya.
Ibu tunggal kepada empat orang anak berusia 44 tahun itu, kini menjalani hukuman penjara selama dua tahun di Pusat Koreksional Batu Gajah selepas disabitkan kesalahan mengedar dan mengambil dadah.
Bagi Nora, hukuman itu pada mulanya seakan titik hitam yang menutup helaian hidupnya, namun setiap hari dilalui di dalam penjara membuka ruang bagi perubahan yang tidak pernah disangkanya.
“Saya sangat menyesal dan paling saya sedih apabila terpaksa berpisah dengan anak-anak. Setiap hari saya fikirkan mereka.
"Tiada apa yang mampu saya ungkapkan kepada mereka selain kata maaf kerana telah menyusahkan mereka menguruskan diri mereka sendiri tanpa ibu kandung di sisi,” katanya ketika berkongsi kisah hidupnya pada Program Penerapan Nilai-nilai Murni Peringkat Negeri Perak di Surau Diri Jumaat, Pusat Koreksional Batu Gajah, semalam.
Menurut Nora, kesilapan dilakukannya sebelum ini berpunca daripada pergaulan dan tekanan hidup sebagai ibu tunggal yang perlu menanggung keluarga.
"Saya akui pada waktu itu fikiran saya menjadi buntu hingga membuat keputusan yang akhirnya membawa diri saya ke balik tirai besi. Saya bukan saja merosakkan hidup sendiri, tetapi juga menyusahkan keluarga dan anak-anak khususnya anak sulung saya yang kini menjaga adik-adiknya,” katanya.
Nora berkata kehidupan di penjara tidak hanya dipenuhi penyesalan kerana baginya tempoh menjalani hukuman itu juga membuka ruang untuk dia mendekati agama dan mengikuti pelbagai kelas kerohanian serta pengajian anjuran pihak penjara.
"Jika sebelum ini saya tidak mampu membaca al-Quran, kini saya bersyukur kerana sudah boleh membaca kitab suci itu dengan bimbingan tenaga pengajar dan pegawai pemulihan. Sekarang saya sudah boleh membaca walaupun masih perlahan,” katanya yang mengakui aktiviti keagamaan seperti kelas mengaji, ceramah agama dan program kerohanian banyak membantu menenangkan jiwanya.
Nora berkata anak-anak menjadi sumber kekuatan untuknya terus bertahan dan memperbaiki diri.
Sementara itu, seorang lagi prospek dikenali sebagai Piki, 30, yang berasal dari Kuala Kangsar memasuki Pusat Koreksional Batu Gajah sejak 2023.
Lelaki itu dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, melibatkan Seksyen 39B serta Seksyen 12(2) kerana memiliki bahan terlarang.
"Saya sedar kesilapan lampau menghumban saya ke balik tirai besi namun saya melihat tempoh hukuman itu sebagai peluang kedua untuk memperbaiki diri.
“Dulu hidup saya memang gelap saya terjebak dengan dadah, berkawan dengan orang salah dan akhirnya merosakkan diri sendiri,” katanya.
Menurut Piki, pada awalnya dia bergelut untuk menerima hakikat bahawa kehidupannya kini terbatas di dalam penjara, namun suasana di pusat pemulihan serta sokongan pegawai dan rakan-rakan banduan mula membuka ruang untuk berubah.
“Bila masuk sini, saya mula sedar bahawa hidup saya tak boleh terus macam dulu dan sampai bila saya perlu begini kerana saya fikir tentang keluarga serta masa depan,” katanya.
Bagi Piki, setiap detik berbaki akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperbaiki diri, dan dengan bimbingan guru dan rakan-rakan yang lebih mahir, dia mula mengenal huruf, mengeja ayat demi ayat dan akhirnya mampu membaca al-Quran dengan lancar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial