AM > BERITA

Inisiatif NTIS Percepat Pengkomersialan Teknologi Halal Tempatan - MOSTI

10/03/2026 02:13 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) membolehkan syarikat tempatan menguji teknologi inovatif dalam persekitaran terkawal sebelum dikomersialkan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata NTIS itu juga dilihat sebagai setanding dengan program sandbox teknologi di negara seperti Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata menerusi inisiatif itu, kerajaan bukan sahaja menyediakan fasilitasi kawal selia, malah turut membantu pemadanan dana serta sokongan teknikal bagi mempercepatkan pengkomersialan teknologi tempatan.

“Tahap sokongan kerajaan kepada syarikat dan inovator tempatan adalah setanding dengan program regulatory sandbox di Arab Saudi dan UAE kerana inisiatif NTIS turut mempunyai fungsi yang sama, dengan fokus tambahan kepada pemadanan dana dan bantuan teknikal bagi tujuan pengkomersialan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Mohammad Yusof berkata antara kejayaan program itu ialah pembangunan aplikasi QuikHalal© oleh Holistics Lab Sdn Bhd, sebuah syarikat terbitan penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang menawarkan penyelesaian pengauditan halal digital.

Beliau berkata aplikasi berkenaan mampu mengurangkan tempoh pengauditan sehingga 50 peratus selain memastikan pematuhan terhadap piawaian manual halal terkini secara digital dan lebih kos efektif.

Selain itu, katanya, kerajaan turut membuka akses kepada pasaran antarabangsa melalui kerjasama dengan badan pensijilan halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan teknologi Islamik tempatan berpotensi menembusi pasaran global.

Dalam sektor farmaseutikal pula, beliau berkata, melalui Dana Pelaburan Strategik VentureTECH, syarikat tempatan Ain Medicare Sdn Bhd telah berjaya menghasilkan lebih 98 jenis produk farmaseutikal dengan lebih 60 daripadanya memiliki pensijilan halal dan dieksport ke pasaran Asia Barat.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengenai perkembangan teknologi seperti blockchain, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam ekosistem kewangan Islam, beliau berkata aspek kawal selia Syariah serta instrumen kewangan berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan.

“Antara perkembangan terkini ialah pelesenan dua bank digital Islam oleh bank pusat iaitu ION Digital Bank pada Mei 2024 dan KAF Digital Bank pada Disember 2024 bagi memperluas akses kewangan serta memperkukuh ekosistem kewangan Islam moden,” kata Mohammad Yusof.

Sementara itu, beliau berkata platform NTIS juga direka sebagai laluan ekspres untuk membantu syarikat pemula mengatasi halangan birokrasi melalui pelepasan kawal selia, kerjasama merentasi agensi serta penyediaan pembiayaan dan sokongan teknikal.

“Setakat ini sebanyak 142 projek telah diluluskan di bawah NTIS dengan kira-kira RM50 juta pembayaran disalurkan berdasarkan pencapaian projek masing-masing. Daripada jumlah itu, 14 penyelesaian teknologi telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan nilai eksport lebih RM1.2 bilion,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan