AM > BERITA

Bekalan Barangan Mencukupi, Jangan Buat Pembelian Panik - Armizan

10/03/2026 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Bekalan barangan asas bagi musim perayaan mencukupi walaupun terdapat kebimbangan kesan konflik Asia Barat kepada bekalan import, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan rakyat tidak membuat pembelian panik menjelang Aidilfitri.

“Saya ingin beri jaminan jangan khuatir, jangan ada pembelian panik untuk perayaan kerana bekalan untuk perayaan (sepanjang Syawal) insya-Allah sudah ada dalam negara dan mencukupi,” katanya.

Armizan berkata demikian pada sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari  Raya dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di sini hari ini.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mengenal pasti sumber alternatif sekiranya terdapat negara terpaksa menghentikan eksport susulan konflik itu.

Sementara itu, beliau berkata SHMMP Aidilfitri 2026 dilaksanakan dari 14 hingga 28 Mac bagi mengawal harga barangan keperluan semasa musim perayaan melibatkan 27 jenis barangan berbanding 26 pada tahun lepas.

Antara barangan itu bawang kuning besar, bawang merah besar, cili merah, kacang panjang, sawi hijau, santan kelapa dan kacang dal yang merupakan item tambahan tahun ini.

Armizan berkata penguat kuasa KPDN akan membuat pemantauan serta penguatkuasaan di lapangan bagi memastikan kepatuhan semua pihak terhadap Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata KPDN menyasarkan 1,898 siri PJRM diadakan di seluruh negara sepanjang Ramadan.

“Setakat 9 Mac, sebanyak 910 program telah dilaksanakan dengan baki 988 lagi dijadualkan berlangsung sehingga sehari sebelum 1 Syawal,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya jumlah barangan dijual menerusi program itu ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 50 jenis pada minggu terakhir Ramadan berbanding purata 40 sebelum ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan program Service Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) yang menawarkan diskaun servis kereta antara 10 hingga 30 peratus untuk membantu mengurangkan kos penyelenggaraan kenderaan terutama bagi mereka yang akan pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

Armizan berkata program itu berlangsung dari 10 hingga 31 Mac melibatkan 124 premis bengkel Petronas AutoExpert di seluruh negara dengan tempahan dibuat menerusi aplikasi Setel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan