AM > BERITA

AADK Buka Sesi Lawatan Keluarga Klien PUSPEN Sempena Aidilfitri

12/03/2026 11:16 AM

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan membuka sesi lawatan khas bagi keluarga dan penjaga klien yang sedang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi di semua Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) seluruh negara sempena Aidilfitri.

Ketua Pengarahnya Datuk Ruslin Jusoh berkata sesi lawatan itu akan dibuka dari 30 Mac hingga 3 April, kecuali bagi Puspen di Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang akan dimulakan sehari lebih awal, iaitu dari 29 Mac hingga 2 April.

Beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh ikatan kekeluargaan di samping memberikan sokongan moral yang diperlukan kepada klien AADK.

“Lawatan khas ini juga memberikan ruang dan peluang kepada keluarga atau penjaga untuk bertemu mesra dengan klien, selain menjadi pendekatan terapeutik dalam menyokong proses kepulihan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Ruslin berkata keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan khas berkenaan diminta menghubungi Pegawai Pemulihan di Puspen masing-masing menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Puspen berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sesi lawatan khas ini atau menghubungi Hotline AADK menerusi talian 1-800-22-2235 atau 019-626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan khidmat nasihat atau membuat aduan berkaitan permasalahan dadah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan