AM > BERITA

Malaysia Pergiat Penggunaan Teknologi Mobiliti Pintar, Perkukuh Pengurusan Infrastruktur Jalan Raya

12/03/2026 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia sedang mempergiatkan penggunaan teknologi mobiliti pintar dan pengurusan infrastruktur digital bagi memperkukuh rangkaian jalan raya negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata negara kini beralih daripada pendekatan tradisional yang hanya menumpukan kepada pembinaan serta peluasan jalan raya kepada model pengurusan mobiliti yang lebih cekap, bersepadu dan dipacu data.

Berucap pada Intertraffic Amsterdam, salah satu pameran mobiliti dan infrastruktur terkemuka dunia, beliau berkata pendekatan baharu itu menggabungkan kepakaran kejuruteraan, teknologi digital serta penyertaan awam bagi memastikan pengurusan trafik dan infrastruktur dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Nanta berkata proses pembangunan pembandaran pesat serta pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia Tenggara meningkatkan keperluan terhadap pengurusan infrastruktur yang lebih pintar.

“Di seluruh Asia Tenggara, pembangunan infrastruktur berkembang dengan sangat pesat. Cabaran sebenar bukanlah sama ada infrastruktur akan terus berkembang - ia pasti akan berkembang - tetapi bagaimana kita mengurus infrastruktur tersebut secara lebih bijak,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini.

Nanta berkata Malaysia kini menyelenggara hampir 296,000 kilometer (km) jalan raya, antara rangkaian jalan terbesar di Asia Tenggara, disokong oleh sistem lebuh raya sepanjang lebih 5,000 km yang menghubungkan bandar utama, pelabuhan serta koridor ekonomi di seluruh negara.

Beliau berkata pertumbuhan ekonomi terus mendorong peningkatan permintaan mobiliti apabila Malaysia mencatatkan 1.57 juta pendaftaran kenderaan baharu pada 2024 sahaja, bersamaan kira-kira 4,300 kenderaan baharu memasuki jalan raya setiap hari.

Bagi menangani tekanan itu, katanya KKR memperluaskan penggunaan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) serta platform digital bersepadu untuk meningkatkan pemantauan trafik, mengoptimumkan aliran trafik dan memperkukuh keselamatan jalan raya.

Nanta berkata penyertaan awam turut memainkan peranan penting dalam ekosistem mobiliti pintar negara melalui aplikasi mudah alih MYJalan yang membolehkan orang ramai melaporkan kerosakan jalan dan isu keselamatan secara terus kepada pihak berkuasa.

“Sejak dilancarkan, platform tersebut telah menerima lebih 54,000 laporan awam, dengan lebih 90 peratus berjaya diselesaikan, sekali gus membantu pihak berkuasa bertindak balas dengan lebih pantas terhadap isu infrastruktur di seluruh negara,” katanya.

Nanta berkata Malaysia juga memperkukuh tadbir urus infrastruktur melalui Platform Maklumat Pembinaan Nasional, yang menyatukan data pembinaan, maklumat peraturan serta sistem pemantauan projek bagi menyokong perancangan dan pengurusan aset yang lebih cekap.

Beliau berkata pembangunan projek infrastruktur utama seperti Lebuhraya Pan Borneo yang merentasi lebih 2,000 kilometer di Sabah dan Sarawak turut meningkatkan kesalinghubungan logistik serta membuka lebih banyak peluang ekonomi di Malaysia Timur.

Pada masa sama, Nanta berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, kerajaan akan membina serta menaik taraf lebih 2,800 kilometer jalan luar bandar bagi meningkatkan kesalinghubungan komuniti di bandar kecil serta kawasan pertanian.

“Inilah yang kita maksudkan apabila kita bercakap tentang memanusiakan kejuruteraan - memastikan pembangunan infrastruktur benar-benar meningkatkan kehidupan harian dan menghubungkan rakyat Malaysia dengan peluang,” katanya.

Nanta berkata dengan populasi bandar di Asia Tenggara dijangka melebihi 400 juta orang menjelang 2030, Malaysia sedang memposisikan diri sebagai hab serantau bagi inovasi mobiliti pintar dan teknologi infrastruktur.

“Membina lebih banyak infrastruktur sahaja tidak lagi mencukupi. Masa depan terletak pada pembangunan infrastruktur yang lebih pintar, lebih selamat, lebih cekap dan lebih mampan,” katanya.

Sebelum ini, KKR memaklumkan Malaysia menyertai forum Intertraffic Amsterdam 2026 buat julung kalinya dan menjadi satu-satunya negara ASEAN yang menerima jemputan rasmi untuk menyertai acara berprestij yang berlangsung di Pusat Konvensyen RAI Amsterdam bermula 9 hingga 12 Mac.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan