AM > BERITA

Hospital Seberang Jaya Pertama Di Pulau Pinang Laksana Sekolah Dalam Hospital, Tingkat Akses Pendidikan

12/03/2026 08:18 PM

BUKIT MERTAJAM, 12 Mac (Bernama) -- Hospital Seberang Jaya (HSJ) menjadi hospital pertama di Pulau Pinang melaksanakan program Sekolah Dalam Hospital (SDH) selaras usaha menyediakan akses  pendidikan yang inklusif bagi memastikan murid yang menerima rawatan tidak tercicir daripada mendapat pendidikan secara berterusan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata SDH HSJ telah bermula pada 5 Ogos 2024 dengan menempatkan seorang penyelia, tiga guru serta seorang Pembantu Pengurusan Murid dengan sokongan Kementerian Kesihatan (KKM) melalui penyediaan premis dan kemudahan bersesuaian di tingkat lima bangunan baharu hospital itu.

Beliau berkata SDH HSJ dilengkapi masing-masing dua unit papan pintar (smart board) sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan permainan video Nintendo, sebuah mesin pencetak 3D serta pelbagai kelengkapan pejabat disediakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sejak pengoperasiannya pada 2024, SDH di HSJ telah menerima sebanyak 642 murid. Program ini bukan sahaja memastikan kesinambungan pembelajaran malah menyediakan sokongan emosi serta motivasi kepada murid yang sedang menjalani rawatan.

“Selaras dengan aspirasi Pendidikan Manusiawi KPM yang menekankan prinsip tiada kanak-kanak ketinggalan, pelaksanaannya turut menyokong proses pemulihan dan menyuntik semangat kepada murid untuk terus menimba ilmu dalam apa jua keadaan,” katanya ketika merasmikan program itu di HSJ di sini hari ini.

Fadhlina berkata kurikulum yang digunakan dalam program itu sama seperti di sekolah, iaitu berasaskan Kurikulum Kebangsaan namun pelaksanaannya lebih fleksibel dengan guru menyesuaikan tempoh, kandungan pembelajaran serta pendekatan mengikut keupayaan dan keadaan murid.

Beliau berkata program SDH diperkenalkan pada 2011 dengan tiga hospital sebagai perintis, iaitu Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang dan Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, Selangor sebelum diperluas secara berfasa ke hospital lain di seluruh negara.

Sehingga kini, beliau berkata terdapat 20 SDH di 12 negeri dengan 17 hospital di bawah KKM manakala tiga lagi hospital universiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Fadhlina berkata sejak dilaksanakan, sebanyak 454,246 murid telah mendapat manfaat program itu sekali gus mendukung pendirian KPM bahawa pendidikan hak setiap kanak-kanak.

“Walaupun mereka tidak dapat bersekolah seperti biasa, kita tetap memastikan pembelajaran diteruskan selain berperanan sebagai sokongan terapi kepada mereka. Sebab itu modul dan peranan guru dalam program ini amat penting,” katanya.

Beliau berkata guru yang terpilih menyertai program SDH terdiri daripada mereka yang memohon secara sukarela dan komited untuk menjayakan inisiatif berkenaan.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata program SDH akan terus diperluas dengan jangkaan dilaksanakan di Perak dan Putrajaya bagi memastikan isu keciciran pendidikan dapat ditangani.

“Ia masih dalam proses kerana pelaksanaannya memerlukan perancangan rapi termasuk penyediaan ruang sesuai di hospital. Kerjasama dengan KKM amat penting kerana kita mahu memastikan kemudahan disediakan selesa dan kondusif.

“Walaupun proses perbincangan mengambil sedikit masa, dua kementerian terlibat komited untuk menjayakan program ini. Saya merakamkan penghargaan kepada KKM yang banyak membantu serta menyediakan ruang bagi melaksanakan SDH,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan