AM > BERITA

Majlis Iftar MOTAC, Tourism Malaysia Perkukuh Sinergi Pemain Industri

13/03/2026 09:20 AM

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Penganjuran Majlis Iftar Ramadan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) semalam menjadi platform penting dalam memperkukuh sinergi antara kerajaan, rakan diplomatik dan penggiat industri pelancongan bagi menyokong kejayaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Majlis anjuran bersama Tourism Malaysia yang berlangsung di sebuah hotel di sini, diserikan dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Majlis berkenaan menghimpunkan delegasi yang terdiri daripada diplomat asing, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pelancongan serta penggiat industri pelancongan, selain barisan pengurusan tertinggi MOTAC serta Tourism Malaysia.

Tourism Malaysia memaklumkan acara itu turut menggalakkan jaringan kerjasama dan interaksi dalam suasana muhibah yang mencerminkan semangat perpaduan serta saling menghormati

“Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya juga meluangkan masa mengadakan sesi interaktif bersama penggiat industri bagi membincangkan cabaran dihadapi serta bertukar pandangan mengenai langkah-langkah memperkukuh pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan negara,” menurut kenyataan itu.

Tourism Malaysia memaklumkan interaksi itu mencerminkan komitmen MOTAC untuk memastikan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan sentiasa responsif terhadap keperluan industri, di samping mengeratkan kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak berkepentingan.

Pada majlis berkenaan, tetamu turut berpeluang menikmati keunikan budaya Malaysia melalui sajian makanan tempatan, persembahan muzik tradisional serta tayangan eksklusif video promosi TMM2026.

Bagi mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan persekitaran pelancongan yang selamat dan kondusif, majlis itu turut menampilkan Taklimat Keselamatan Negara oleh Polis Diraja Malaysia yang menekankan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelancongan selamat, mesra dan diyakini pelawat antarabangsa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan